Wednesday, August 15, 2007

Menutup Bangkai Gajah Dengan Nyiru (II)

Oleh AJAB (anwarisme@hotmail.com)

Selepas selesai melancong ke seluruh dunia, atas biaya Amerika, selepas pembebasannya, Anwar kembali ke tanah air cuba mendaki jalan-jalan politik kali kedua. Kali pertama beliau hampir berjaya namun akhirnya kecundang jua.

Sejak pilihan raya kecil Ijok lalu, Anwar giat berkempen menyerang Barisan Nasional sambil cuba menutup bangkai gajah ciptaan beliau di luar negara. Malangnya, bangkai gajah di luar negara sekadar mengukuhkan sahaja bangkai-bangkai gajah yang cuba beliau lindungi dalam negara.

Anwar tidak mungkin dapat bertanding dalam pilihan raya umum kali ini. Adalah mustahil untuk Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi mengadakan Pilihan raya Umum selepas April 2008. Ini bersandarkan penangguhan pemilihan UMNO dan cakap-cakap pilihan raya yang semakin rancak. Tarikh April 2008 juga penting kerana sungguhpun Anwar sudah tidak sehebat dahulu, adalah tidak bijak untuk Barisan Nasional memberi kembali ruang kepada Singa tua seperti Anwar.

Namun, Anwar hampir pasti akan merencana startegi pembangkang dan bertindak sebagai moderator kepada warlord-warlord pembangkang yang tidak sama ideologi, falsafah dan perjuangan politik tetapi berkeinginan saling memenuhi nafsu memegang kuasa antara satu sama lain.

Anwar akan bertindak seperti Tengku Razaliegh Hamzah pada 1990. Menjadi penjinak dua "gajah" politik iaitu DAP dan Pas.

Namun berbanding Ku Li yang kurang isu moral dan peribadi, Anwar mempunyai sekian banyak masalah yang akan menjadi isu politik pada masa pilihan raya nanti.

Moraliti Bangkai Gajah Yang Sukar Ditutup

Mampukah Anwar menghadapi taburan vcd mengenai rakaman pengakuan Sukma Darmawan dan Azizan kepada Polis, Hairani Mohd. Naffis kepada Imam Masjid Negara (ketika itu) Taib Azamuddin; rakaman percakapan Anwar dengan isteri seorang Ketua Bahagian UMNO dan juga lakonan-lakonan palsu kesakitan Anwar ketika dalam tahanan. Vcd-vcd ini akan terus berlegar selagi Anwar berkempen dalam pilihan raya.

Anwar mungkin mudah menghadapi serangan kempen mulut mahu pun risalah. Namun rakaman-rakaman yang dalam bentuk VCD akan meninggalkan satu kesan buruk dan sukar dijawab oleh Anwar.

Dalam kempen pilihan raya Ijok yang lalu juga Anwar kelihatan tidak selesa mempertahankan dirinya menentang vcd-vcd tersebut dan menganggapnya sebagai isu lapuk. Jawapan Anwar ini tentu mengelirukan kerana apa yang dipaparkan tersebut tidak boleh dianggap isu lapuk tanpa menjejaskan peribadi beliau yang disanjungi sebahagian orang Melayu.

Orang Melayu akan tertanya-tanya bagaimanakah seorang pemimpin yang satu masa membaca Khutbah dan mengimamkan solat serta terkenal dengan perjuangan Islam, boleh menari dengan perempuan-perempuan yang bukan muhrim (sungguhpun tidak berpelukan). Bukanlah semua pemimpin politik lain baik belaka. Tapi sejahat akhlak pemimpin politik lain pun mereka yang sedar keburukan akhlak mereka tidak pula ke depan menjadi imam mahu pun membaca Khutbah.

Keputusan Mahkamah juga tampak tidak menyebelahi Anwar. Sungguhpun dibebaskan dari tuduhan meliwat, namun hakim membebaskannya bukan kerana Anwar tidak melakukan hubungan seks sejantina.


"We find evidence to confirm that the appellants (Anwar Ibrahim and Sukma) were involved in homosexual activities and we are more inclined to believe that the alleged incident at Tivoli Villa did happen."

-Datuk Tengku Maimon Tuan Mat


Selain itu, jangan dilupakan bahawa Anwar telah didapati bersalah kerana mengarahkan dua orang pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) "gempaq" (menakutkan) mereka yang membuat laporan Polis dan menulis surat kepada Perdana Menteri mengnenai tingkah lakukanya semasa kes ini mula muncul.

Jika Anwar tiada yang hendak disembunyikan perlukah beliau mengarahkan polis melakukan sesuatu yang diluar batasan undang-undang?

Tuduhan-tuduhan atas perlakuan luar batasan moral muslim ini bukan sekadar tuduhan rambang tetapi merupakan tuduhan yang mempunyai saksi atau rakan subahat yang jelas.
Antaranya, tuduhan meliwat adik angkatnya, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja; penulis ucapannya, Dr. Munawar Ahmad Anees; seorang pereka fesyen, Mior Abdul Razak Yahya dan penulis ucapannya bernama Hairani Mohd. Naffis di antara tahun 1992 dan Mei 1995.

Selain itu, satu lagi pertuduhan ialah dakwaan mempengaruhi siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR) ke atas bekas Setiausaha Sulitnya, Mohd. Azmin Ali.

Sungguhpun kesemua tuduhan ini digugurkan atas sebab Anwar sudah didapati bersalah dalam dua tuduhan awal yang menghadapi hukuman penjara 15 tahun, namun ia tidak mungkin padam dari memori orang ramai dengan mudah.

Pertanyaan Yang Akan Terus Berlegar Melingkungi Politik Anwar

Mereka yang berfikir tentu tertanya-tanya mengapa orang seperti Mior Abdul Razak dan Hairani Mohd Naffis tidak menyaman kerajaan dan Peguam Negara kerana membuat tuduhan palsu yang menjatuhkan air muka mereka.

Munawar Aness sungguhpun sehingga hari ini menafikan dakwaan tersebut dan menyatakan beliau memberi pengakuan di bawah paksaan polis, namun hari ini masih cuba mendapatkan temu janji untuk berjumpa Tun Dr. Mahathir Mohamad. Untuk apa?

Kita tentu juga tertanya-tanya bagaimanakah Setiausaha Sulit Anwar, Azmin Ali yang bergaji RM 3,500 sebulan mampu membeli beberapa buah kereta mewah harga jutaan ringgit dan banglo di Ulu Klang.
Hari ini orang yang sama dituduh menggunakan wang parti dan dana Free Anwar Campaign. Adakah ini pun fitnah UMNO?

Semua ini meninggalkan dogma negatif terhadap imej moral dan akhlak Anwar. Ukuran moral terhadap Anwar oleh pengundi Islam tentulah tidak sama kepada pengundi bukan Islam. Masalah lebih berat ialah Anwar sudah menonjolkan diri beliau sebagai pemimpin muslim terpuji dan berakhlak.

Bolehkah pengundi Islam menerima Anwar sebagai seorang imam dan khatib Jumaat tetapi ketika lain menari bersama perempuan bukan muhrimnya?

Bolehkah pengundi Islam, khususnya orang Melayu, menerima Anwar, seorang Timbalan Perdana Menteri, mempunyai hubungan rapat dengan Nallakarupan (Pegawai Kanan Magnum Corporation ketika itu)? Jika dulu sekadar fitnah, hari ini sudah menjadi kenyataan bila Nalla berhabis-habisan membantu Anwar dan PKR di Ijok sebelum keluar parti kerana merajuk

Bolehkah pengundi Islam, khususnya orang Melayu, menerima Anwar seorang pemimpin Islam ulung dan nombor wahid tetapi ketika menjadi ketua Pemuda UMNO pernah menerima sumbangan Genting Berhad, sebuah syarikat terbabit dengan perjudian untuk Yayasan Gerak Bakti?

Bolehkah pengundi Islam, khususnya orang Melayu, menerima Anwar seorang pemimpin Islam ulung dan nombor wahid tetapi bekerjasama dengan Paul Wolfowitz, menubuhkan Foundation For the Future (Yayasan Masa Hadapan) yang antara peranan utamanya ialah menyebarkan fahaman dan ideologi Amerika Syarikat di kalangan negara Arab dan negara Islam lain.

Bolehkah pengundi Islam, khususnya orang Melayu, menerima Anwar seorang pemimpin Islam ulung dan nombor wahid tetapi dalam masa yang sama "membunuh" rakan-rakan politik beliau tanpa belas kasihan; termasuk menipu Tun Ghafar Baba dalam pemilihan UMNO 1993.

Sudah tentu pertanyaan-pertanyaan ini menimbulkan kecurigaan besar orang Melayu dan pengundi Islam keseluruhannya terhadap peribadi Anwar yang sebenar.
Isu yang lebih besar mampukah Anwar menjawab isu-isu ini atau menutup bangkai-bangkai gajah ini dengan nyiru yang beliau ada?

1 comment:

sokong_kerajaan said...

Semasa Nalla Karupan ditangkap pun, banyak senjata dan mata wang pelbagai negara dijumpai di samping pelbagai dokumen sulit kerajaan.... Sedangkan pada masa itu, Anwar Ibrahim berkawan rapat dengan Nalla.... Mungkinkah ada kaitan dengan teori konspirasi Anwar menjatuhkan kerajaan?