Monday, June 4, 2007

Anwarisme (2): Anwar Tamatkan Riwayat Politik "Bapa"

-
Oleh AJAB (Anwarisme@hotmail.com)

Nama seperti Ghafar Baba, Sanusi Junid dan Ibrahim Ali pernah akrab dengan Anwar tetapi akhirnya menjadi musuh politik beliau di dalam UMNO. Anwar bukan sahaja tidak percaya sekutu politik tetapi juga kawan yang berada dalam satu parti politik.

Memang benar politik serba mungkin. Jika tidak mana mungkin Saad Man (Setiausaha Politik Dr. Mahathir) mensabotaj borang pencalonan Dr. M pada 1999. Dan Tidak perlu kita menyalahkan Anwar dalam hal ini. Tindakan beliau "membunuh" karier politik Ghafar Baba dan Sanusi Junid sekadar membuktikan bahawa beliau seorang pemimpin muda yang hebat.

Encik Abdul Ghafar Baba

Encik Abdul Ghafar Baba merupakan bekas seorang guru bukanlah anak kecil dalam politik. Beliau terbabit dalam banyak misi penting UMNO dan Kerajaan. Apabila Musa Hitam berhenti menjadi Timbalan perdana Menteri. En Ghafar Baba dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri. Beliau kemudiannya menang jawatan Timbalan presiden UMNO pada 1987.

Beberapa bulan sebelum Pemilihan Agung UMNO 1993, Anwar Ibrahim membuat kenyataan bahawa beliau tidak akan mencabar En. Abdul Ghafar Baba, Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri ketika itu.

"Beliau Seperti Bapa Kepada Saya." Demikian Anwar merumuskan hubungan beliau dengan Ghafar Baba sewaktu membuat pengumuman untuk tidak mencabar Ghafar bagi jawatan Timbalan Presiden UMNO pada 1993.

Limpahan Kurniaan Anwar

Namun, dalam masa yang sama Anwar telah pun mengumpul pasukan di setiap negeri. Di Kedah misalnya, hampir setiap Ketua Bahagian dipanggil berjumpa Anwar secara sulit. 90% Ketua Bahagian di Kedah ketika itu menerima imbuhan yang amat besar dari Anwar serta janji akan dilantik Menjadi Menteri Besar jika mereka mencalonkan beliau sebagai Timbalan Presiden UMNO.

Terdapat segelintir yang menolak tawaran dan imbuhan Anwar seperti Datuk Wan Azmi (EXCO Kanan Kedah ketika itu) kemudiannya "dilanyak" Anwar secukupnya selepas beliau menang jawatan Timbalan Presiden UMNO. Wan Azmi hilang jawatan EXCO. Anwar juga menggunakan segala jentera dan kekuatan pengaruhnya untuk memastikan Hamid Othman menang Ketua Bahagian Sik kemudiannya.

Manakala Sanusi Junid yang terang-terangan menyokong Ghafar Baba, diberi pengajaran secukupnya kemudian.

Di Sabah juga hampir keseluruhan Ketua Bahagian mendapat imbuhan bernilai jutaan ringgit dan janji untuk mendapat jawatan Menteri dan Ketua Menteri.

Hakikatnya, Anwar berjanji kepada hampir sebahagian besar Ketua Bahagian untuk dijadikan Menteri Besar, Ketua Menteri dan Menteri. Mereka diingatkan supaya jangan memberitahu orang lain atau peluang mereka akan terjejas. Hampir tiada sesiapa yang tahu bahawa kesemua mereka dijanjikan jawatan yang sama dan tidak mungkin Anwar mampu menunaikannya.

Pada masa ini juga "pink-form" Kementerian Kewangan berteraburan dari Ketua Bahagian, EXCO Pemuda UMNO Negeri-Negeri sehinggalah kepada Ketua Pemuda, Wanita dan AJK UMNO Bahagian. Semuanya menerima durian runtuh. Hampir sebahagian besar mereka tiba-tiba menjadi orang kaya segera dan pemain saham BSKL.

Membunuh "Bapa"

Manakala Ghafar Baba yang ketika itu percaya kepada Anwar bin Ibrahim, tokoh muda pejuang Islam sejak zaman pelajar sehingga ke dalam UMNO, berasa senang dan tidak membuat apa-apa yang perlu bagi mempertahankan jawatannya.

Setelah yakin beliau akan mendapat sokongan yang mencukupi untuk menang, jentera Anwar mula bercakap-cakap mengenai kekurangan Ghafar.

Antara lain Ghafar dikatakan tidak boleh bercakap bahasa Inggeris, pendidikan yang tidak tinggi dan UMNO perlu barisan pelapis yang kuat dan muda.

Apabila Mesyuarat UMNO Bahagian bermula, banyak bahagian-bahagian mula mencalonkan Anwar Ibrahim. Ghafar Baba terkejut besar walaupun masih yakin bahawa Anwar akan menolak pencalonan tersebut.

Malangnya Anwar bukan sahaja tidak menolak, malah menggunakan Mat Taib, Rahim Tamby Chik dan Muhyiddin Yassin supaya membuat kenyataan mendesak Anwar bertanding sebagai menghormati kehendak akar umnbi UMNO (yang dicipta oleh Anwar sendiri).

Ketika Ghafar sedar bahawa Anwar sendiri di sebalik perancangan tersebut, segalanya sudah terlambat. Akhirnya Anwar Ibrahim mendapat lebih kurang 143 pencalonan daripada 153 Bahagian ketika itu. Selebihnya milik Ghafar Baba.

Ghafar, Ketua Perhubungan UMNO Sabah tapi hanya mampu mendapat lebih kurang 7-8 bahagian dari seluruh negara ketika itu. Di Sabah sendiri hanya bahagian Tun Mustapa yang mencalonkan beliau.

Ghafar kemudiannya meletak jawatan sebagai Ketua Perhubungan UMNO Sabah, Timbalan Perdana Menteri dan juga menarik diri dari pertandingan Timbalan Presiden UMNO pada Oktober 1993.

Akhirnya Anwar menamatkan riwayat hidup politik seorang yang beliau anggap seperti bapa sendiri.

Kekuatan Anwar ialah beliau berupaya meyakinkan orang lain dengan apa yang beliau katakan disamping menyembunyikan perancangan sebenar.

---------------
Rabu ini:
Anwarisme 3: Pertarungan Dua Sahabat, Menang Jadi Arang, Kalah Jadi Abu

No comments: