Thursday, June 7, 2007

Anwarisme (3): Dua Sahabat Bertarung, Menang Jadi Arang, Kalah Jadi Abu

Oleh AJAB

Dalam kerjaya politiknya dalam UMNO, Anwar amat mengelak tiga orang sahabat baik beliau suatu ketika dahulu, iaitu Sanusi Junid, Ibrahim Ali dan Ustaz Osman Bakar (dari Kampung Gajah).

Beliau menjauhi tiga orang ini kerana mereka tidak pernah takut menyuarakan kritikan berdepan terhadap beliau. Anwar tidak dapat menerima kritikan terbuka ke atas beliau. Kritikan-kritikan yang ditujukan kepadanya biar pun beliau sambut secara manis muka di hadapan khalayak, namun beliau akan pastikan pengkritik menerima akibatnya dibelakang.

Ini gaya Anwar. Politik bermuka-muka. Musuh tidak terasa bila "dibunuh." Anwar lebih cerdik dari Dr. Mahathir. Dr. Mahathir selalu bermasalah dengan populariti kerana beliau bercakap apa sahaja yang beliau rasakan perlu secara berdepan.

Hubungan Awal Anwar - Sanusi Junid

Anwar juga memastikan orang seperti Sanusi Junid dan Ibrahim Ali mati secara perlahan-lahan dalam politik.

Dua orang ini merupakan antara golongan terawal mengenali Anwar. Ketika Ibrahim kurang digemari oleh Anwar kerana bersikap berterus terang, Sanusi dilihat Anwar lebih berbahaya.

Sanusi dilihat merbahaya oleh Anwar kerana beliau merupakan seorang yang "bersih", pintar, penyokong kuat Dr. Mahathir dan mengenali Anwar. Boleh dikatakan Sanusi merupakan mentor Anwar suatu ketika dahulu sama ada di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) mahu pun ketika di Universiti Malaya.

Hubungan awal Sanusi dan Anwar bermula di Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK). Sanusi pernah menyelamatkan Anwar daripada menjadi "mangsa" segelintir pelajar senior yang rakus dan tidak bermoral ketika itu.

[Terdapat riwayat yang mengatakan keluarga Anwar dan Sanusi juga sudah lama bersahabat sejak sebelum kedua mereka terjun ke dalam bidang politik lagi.]

Pada ketika itu Sanusi merupakan Setiausaha Badan Agama (kemudiannya ditukar nama kepada Badan Revolusi Ugama - BRU) yang dinaungi oleh Ustaz Ghazali (Allahyarham). Kemudiannya, kepimpinan BRU diwarisi oleh Ungku Mohsien dengan Anwar telah dilatih oleh Sanusi sebagai pemimpin generasi ketiga kemudiannya.

Hubungan Sanusi-Anwar berterusan bila Anwar masuk ke Universiti Malaya dan Sanusi sudah menjadi eksekutif sebuah bank. Sanusi bukan sahaja memberi banyak tajaan dan bantuan kewangan kepada Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Islam Malasia (PKPIM), malah kemudiannya turut membantu sekolah Yayasan Anda (yang diterajui oleh Anwar dan rakan-rakan) serta sebuah syarikat percetakan milik Anwar dan David.

Dengan kata lain, serba sedikit hidup dan survival kepimpinan Anwar ketika itu dibantu oleh Sanusi bin Junid.

Anwar - Sanusi Di Dalam UMNO

Apabila di dalam Pemuda UMNO, Sanusi juga antara yang menggerakkan jentera membantu Anwar menang jawatan Ketua Pemuda UMNO ketika menetang Datuk Suhaimi Kamaruddin.

Sanusi (dan juga Daim Zainuddin) merupakan penyokong kuat Anwar yang memberi ruang dan peluang kepadanya mendaki tangga demi tangga dalam UMNO. Sanusi melalui rangakain politiknya, manakala Daim melalui kekuatan kewangannya ketika itu dilihat menjadi faktor "force" keluasan pengaruh Anwar dalam UMNO.

Dengan bantuan Sanusi dan Daim (serta restu Mahathir), Anwar seumpama mendapat red carpet dalam mendaki kedudukan sehingga ke jawatan Naib Presiden UMNO.

Namun bermula di sini, Sanusi mula melihat kegelojohan Anwar sehingga mengecilkan hati ramai pemimpin UMNO lain. Bagi Sanusi ini tidak sihat kepada UMNO.

Dua Rakan Akhirnya Berperang

Namun rakan bila bersama di dalam politik tidak semestinya akan kekal karib.

Ketika hampir sebahagian besar Menteri Kabinet UMNO dan Menteri Besar berjaya di kawal oleh Anwar, Sanusi Junid antara yang tidak. Anwar sedaya upaya cuba menarik Sanusi ke dalam kumpulannya. Anwar tidak mungkin boleh mengawal Sanusi kerana Sanusilah antara yang mencipta pengaruh Anwar dalam UMNO di peringkat awal.

Anwar cuba menjadikan Sanusi sebahagian pasukan Wawasan. Namun Sanusi menolak. Sanusi tetap Sanusi. Beliau boleh mencipta sepuluh kawan esok dan sepuluh musuh dalam masa yang sama kerana prinsipnya.

Apabila semua jentera digunakan Anwar untuk menentang Ghafar, Sanusi secara terbuka mengisytiharkan menyokong Ghafar. Akibatnya, bukan sahaja Ghafar kalah, Sanusi dan Abdullah Ahmad Badawi juga kalah.

Anwar mengisytiharkan tiada perpecahan dan sebarang terkilan hati dalam pertandingan tersebut. Namun, selepas itu Anwar mula merangka untuk menjatuhkan Sanusi.

Dua tahun kemudiannya Dr. Mahathir mengejutkan Anwar apabila meletak Sanusi Junid sebagai calon Dewan Undangan Negeri Kawasan Kuah. Keadaan ini menimbulkan desas-desus hebat selepas Pilihan Raya UMUM 1995, Sanusi akan dilantik menjadi Menteri Besar Kedah yang baru menggantikan Tan Sri Osman Aroff.

Bagaimanapun sebaik tamat pilihan raya umum 1995, Osman Aroff masih kekal sebagai Menteri Besar Kedah. Namun Anwar menyedari bahawa Dr. Mahathir tidak mungkin meletak Sanusi bertanding sebagai ADUN kecuali menyerahkan jawatan Menteri Besar Kedah kemudiannya.

Mencaturkan Politik Kedah

Langkah pertama Anwar ialah meyakinkan Osman Aroff supaya jangan melantik Sanusi sebagai EXCO negeri Kedah.

Berlakulah jenaka ketika itu bila Osman Aroff cuba "bersilat lidah." Osman mendakwa beliau telah menghantar surat jemputan perlantikan EXCO kepada Sanusi tetapi tiada jawapan. Manakala Sanusi pula mendakwa beliau tidak menerima sebarang surat.

Jika benar Osman mahu melantik Sanusi ketika itu tentulah beliau boleh menghubungi Sanusi melalui telefon sahaja. Namun ia tidak berlaku. Osman berani kerana menyedari Anwar dibelakangnya.

Langkah Kedua Anwar ialah memastikan imej Sanusi terus tercemar di tempat sendiri.

Dengan tidak melantik Sanusi sebagai EXCO maka kedudukan Sanusi di peringkat Bahagian sudah tergugat. Penangguhan perlantikan Sanusi sebagai Menteri Besar ketika itu dan tibanya Pemilihan UMNO Bahagian terlebih dahulu memberi peluang besar kepada Anwar.

Pada pemilihan UMNO Bahagian Langkawi 1996, "rookie" Bakar Taib (Ahli Parlimen Langkawi dan Setiausaha Parlimen) menumpaskan Sanusi Junid - ADUN Kuah, Ketua Bahagian, bekas Naib Presiden UMNO, bekas Setiausaha Agung UMNO, dan bekas Menteri Pertanian.

Kekalahan ini bukan mudah. Ia memerlukan perancangan bijak kumpulan Anwar dan pembahagian "kek" Kementerian Kewangan ketika itu.

Selain itu, dikatakan wang sebanyak RM 1 juta telah digunakan untuk memastikan Datuk Bakar Taib menewaskan Sanusi dalam pemilihan UMNO Bahagian Langkawi. (Tidak dipastikan sama ada wang tersebut berupa sogokan atau digunakan sebagai pembayaran jentera kempen.)

Tumpaslah Sanusi. Akhbar-akhbar di bawah pengaruh Anwar - Utusan dan Berita Harian- mula memainkan cerita-serita bahawa kerjaya politik Sanusi sudah tamat.

Namun tumpasnya Sanusi tidak menghalang cakap-cakap penukaran MB Kedah sepenuhnya. Biar pun ramai pemerhati politik melihat masa depan Sanusi sudah tamat, namun Dr. Mahathir menyedari agenda untuk "membunuh" Sanusi ini.

Dr. Mahathir tidak mungkin mengundurkan perancangannya sekadar rintangan tersebut. Beliau memanggil Osman Aroff dan mengarahkan supaya meletak jawatan.

Anwar panik dengan berita ini tetapi berjaya mengumpulkan beberapa ADUN Kedah yang berpengaruh. Mereka dijanjikan jawatan MB dengan syarat boleh mengumpulkan kesemua ADUN Kedah dan membuat kenyataan membantah perlantikan Sanusi sebagai Menteri Besar.

22 anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) tiba-tiba mengadakan persidangan akhbar mengumumkan pendirian mereka menolak Sanusi sebagai calon Menteri Besar. Anggota Dewan Undangan Negeri itu meminta Perdana Menteri mengekalkan Osman sebagai
Menteri Besar.

Dr Mahathir menyifatkan tindakan mereka melanggar tradisi parti. Osman pula menafikan beliau di belakang 22 Adun itu. Anggota Dewan Negeri itu kemudiannya memohon maaf kepada Perdana Menteri kerana membuat pengumuman mengenai perkara itu. Tetapi, mereka masih menolak Sanusi.

Namun secara senyap sebahagian besar 22 ADUN tersebut sudah berubah nada bila mengetahui janji Anwar kepada beberapa orang EXCO Kanan UMNO untuk dilantik menjadi MB. Perpecahan dalam senyap kumpulan ini berlaku.

Sebahagian lagi yang terperangkap dalam sidang akhbar yang diadakan tanpa mengetahui tujuan sebenar kemudiannya membuat pengakuan sulit memberi mandat kepada Perdana Menteri untuk menyelesaikan perkara itu.

Strategi Anwar gagal. Gagal bukan bermakna berakhirnya usaha membunuh politik Sanusi.

Antara 1996 - 1998, Sanusi menerima laporan yang cukup negatif dan provokasi dari Utusan Malaysia yang dipimpin oleh Johan Jaaffar ketika itu. (Johan Jaafar diketahui umum sebagai calon payung terjun Anwar dibawa masuk ke Utusan Malaysia dan ini kita akan bincang dalam episod lain).

Sehinggakan ketika itu terdapat jenaka di kalangan pemimpin UMNO bahawa Kedah sedang diperintah oleh PAS.

Oleh kerana Sanusi tidak mempunyai rekod korup atau moral yang meragukan maka Anwar tidak mempunyai sebarang isu peribadi.

Kelemahan Sanusi Diperguna Anwar

Namun Sanusi mempunyai beberapa kelemahan. Antaranya beliau suka memikirkan isu-isu futuristik dan di luar jangkauan khalayaknya. Beliau suka membaca dan kadang-kadang mendapat idea lawak yang dipraktikkan tanpa memikirkan pandangan masyarakat setempat. Akibatnya, Utusan menggunakan idea-idea Sanusi seperti tanam padi atas bumbung, pertandingan mencabut uban dan Liga Bola Sepak Kampung dengan hadiah lembu untuk menunjukkan Sanusi tidak mempunyai idea pembangunan yang berjaya.

Projek-projek utama Kedah di bawah Sanusi seperti tambakan laut, pembangunan Masjid sebagai pusat ilmu, penubuhan beberapa kolej pengajian seperti Insaniah, Projek Kulim Hi Tech Park, penumpuan kepada Industri Kecil dan Sederhana (IKS), dikecilkan atau ditutupkan.

Kelemahan kedua Sanusi ialah beliau tidak boleh bekerja dengan orang yang lembab, malas berfikir dan kurang membaca. Akibatnya beliau berkelahi dengan hampir separuh pegawai tadbir kanan negeri Kedah.

Dalam sebahagian besar isu Sanusi memang betul. Namun dalam politik, ahli politik tidak semestinya selalu menunjukkan beliau betul apatah lagi di kalangan penggerak utama pentadbiran negeri.

Namun politik Sanusi tidak mudah mati. Semuanya kerana beliau tidak mempunyai sebarang isu salah guna kuasa, kewangan dan moral yang boleh Anwar gunakan ke atasnya. Dengan kata lain, moral dan integeriti Sanusi cukup tinggi tanpa perlu beliau ke hulu ke hilir bercakap soal Islam.

Kemarahan Anwar terhadap Sanusi bertambah bila pada JUN 1998, Sanusi mendedahkan kepada Majlis Tertinggi UMNO nama seorang pemimpin UMNO (berserta fakta dan saksi) yang menghasut pemimpin tertinggi parti komponen BN bahawa:

1. Majoriti Ketua Bahagian tidak sokong Presiden UMNO

2. 30 orang ahli Parlimen UMNO akan berjumpa Dr. Mahathir dan akan meminta supaya beliau meletak jawatan. (Malangnya perjumpaan yang berlaku bukan untuk meletak jawatan seperti yang disebarkan oleh pemimpin UMNO tersebut.)

3. Seorang pemimpin UMNO memburukkan nama Dr. Mahathir kepada pemimpin parti komponen dengan pelbagai cerita yang menyatakan Dr. Mahathir tidak suka Presiden parti itu dan parti ini.

Pemimpin UMNO ini sungguhpun diketahui "orang Anwar" namun tiada bukti mendakwa Anwar terbabit. Sebaliknya Anwar sendiri menafikan tahu hal ehwal gerakan ini. Malah dikatakan Anwar sendiri memarahi pemimpin tersebut di depan Dr. Mahathir.

Dalam Perhimpunan Agung UMNO tahun tersebut sekali lagi Sanusi membangkitkan isu ini dengan mengatakan ada orang mahu melagakan Anwar dengan Dr. Mahathir.

Dalam perhimpunan tersebut juga Sanusi memaklumkan kepada perhimpunan bahawa Anwar bertanya kepada beliau mengenai Buku 50 Dalil. Sanusi menyatakan kepada Perhimpunan Agung UMNO 1998,

"Sebenarnya saya tidak payah tulis buku dan tak payah suruh orang tulis. Jika saya mahu kata, saya akan kata berdepan atau berhadap dalam majlis."

"Tapi si penulis, telah menulis dari Pulau Lagenda. Pulau Lagenda itu pulau saya. Saya beritahu Saudara Anwar bahawa di belakang buku itu bukan saya."

"Dia kata dia dah tahu siapa buat. kalau dah tahu tak apalah. Pendeknya dia tidak kata terhadap saya."

Beberapa minggu kemudian, Anwar sudah menjadi sejarah apabila dipecat dari jawatan Timbalan perdana Menter, Menteri Kewangan dan Timbalan Presiden UMNO.

Sanusi pula muncul sebagai antara musuh utama penyokong Anwar.

Menang Jadi Arang, Kalah Jadi Abu

Hasrat Anwar untuk "membunuh Sanusi" tidak tercapai kerana beliau sendiri tumbang terlebih dahulu pada 1998.

Anwar menuduh Sanusilah antara konspirator terbesar kejatuhannya selain Aziz Shamsuddin.

Namun Sanusi tumbang juga akhirnya. Kemenangan tipis BN Kedah menang pada 1999 menyebabkan timbul desakan supaya Sanusi berundur.

Sanusi sedar beliau harus menjadi kambing hitam bagi mengawal kemusnahan yang lebih besar. Sanusi melepaskan jawatan Menteri Besar Kedah.

Dalam masa yang sama Anwar didapati bersalah atas tuduhan rasuah dan salah guna kuasa (Mengarahkan Pegawai Cawangan Khas atas kepentingan peribadi) serta menunggu perbicaraan liwat.

Pertarungan dua rakan ini sungguh hebat sehingga akhirnya yang menang jadi arang, yang kalah jadi abu. Sanusi hilang jawatan, anwar menerima hukuman penjara.

Sanusi menjadi arang dan tidak mungkin melakukan comeback lagi.

Tapi Anwar menjadi abu. Mampukah Anwar bangkit dari abu menjadi gagah semula? Hanya masa menentukan.

3 comments:

Anonymous said...

hehehe kesian penyokong Pak Syeikh yang ingat Anwar ni baguih macam ulama.

sokong_kerajaan said...

Orang yang bersahabat pun kena berpada-pada. Kerana sahabatlah badan binasa dan sahabat mungkin bertukar menjadi musuh pada satu hari nanti.

Anonymous said...

dah diberi peluang jadi MB pun patut syukur..
itupun buat projek tah hape2..
ukur baju di badan sendiri la sebelum hentam org.