Showing posts with label Anwarise. Show all posts
Showing posts with label Anwarise. Show all posts

Wednesday, November 21, 2007

Anwar Sudah Jadi Kembiri Politik


Dalam pembentangan Belanjawan 1992, Datuk Seri Anwar Ibrahim memperkenalkan perkataan "kembiri politik". Tiada siapa pun tahu makna sebenar kembiri politik ini.

Mungkin kerana pada masa itu terkenal dengan idea-idea kacukan seperti selembu (seladang kacuk lembu), maka perkataan Anwar perkenalkan ini mungkin bermaksud Kambing kacuk Kambing biri-biri.

Menurut orang kuat Anwar, Ahmad Nazri Abdullah (Berita Harian) "Perkataan `kembiri' mungkin agak asing bagi sesetengah orang, tetapi apabila mendengar keseluruhan pengucapan itu, rasanya semua pihak dapat mengerti maksudnya. Secara ringkasnya, Menteri Kewangan merujuk kepada golongan yang gemar mengkritik apa sahaja dasar dan program kerajaan semata-mata berdasarkan selera sendiri tanpa menggunakan alasan yang lojik dan munasabah."

Namun jika kita arif dalam bahasa klasik, kembiri sebenarnya membawa maksud "kasi", yakni membuang alat peranakan binatang. Mungkin lebih tepat jika ditafsirkan kembiri politik sebagai orang politik yang ada ada nafsu tetapi tiada kemampuan?

Namun kita pegang sahaja tafsiran salah seorang pemikir Anwar ketika itu bahawa kembiri politik ialah mereka yang mengkritik apa sahaja program kerajaan tanpa menggunakan alasan yang lojik dan munasabah.

Nampaknya hari ini banyak sekali kembiri politik termasuklah Anwar.

Lihatlah apa yang ditulis Anwar,

"Sdr Siva menganjur program petang di perumahan rakyat “Impian Baiduri” pada hari Sabtu. Tekanan dan ugutan polis luar biasa, tetapi penduduk memberanikan diri. Kawasan penduduk miskin dikongkong sedemikian rupa agar rakyat tidak memperolehi maklumat dan menuntut hak mereka. Umno tidak mahu rakyat didedahkan mengenai harga barang, rasuah dan mutu pendidikan dan kesihatan yang rendah."

Bagaimanakah penduduk Pangsapuri Baiduri boleh dikategorikan miskin bila setiap hari bersesak kereta sehingga terpaksa double parking?

Penduduk Pangsapuri Baiduru bukan sahaja mendapat kawasan perumahan yang selesa tetapi juga mendapat pangsapuri tersebut dengan harga diskaun. Kerajaan negeri Selangor memberi diskaun RM 7, 000 seorang kepada mereka yang merupakan penduduk setinggan.

Zaman Anwar menjadi Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri dahulu setinggan dibiarkan melarat. Jika tanah diperlukan maka mereka diberi rumah di pinggir bandar.

Namun kerajaan Selangor sejak 2001 telah memutuskan akan cuba sedaya upaya menempatkan para setinggan berhampiran tempat asal setinggan mereka. Inilah nikmat yang dinikmati oleh penghuni Pangsapuri Baiduri.

Dakwaan penduduk dikongkong juga amat mengelirukan seolah-olah terdapat curfew atau kawalan keselamatan yang menghalang keluar masuk orang ramai.

Kritikan Anwar bukan sahaja tidak berasas malah terkeluar dari rasionaliti. Jika dulu ghairah memanggil orang lain Kembiri Politik, hari ini anwar sendiri menjadi kembiri itu. Itupun jika tafsiran anwar mengenai makna kembiri boleh diterima akal.

Anwar Sudah Dikembiri

Tapi jika melihat gerak laku Anwar, sambutan orang ramai, perpecahan Keadilan serta kekalahan Keadilan di Ijok, Anwar sebagai ahli politik sudah dikembiri (makna sebenar - kasi) oleh Dr. Mahathir pada 1998 lagi.

Anwar hari ini tidak lebih dari kucing yang gah mengiau tetapi tiada kekuatan.

Thursday, June 7, 2007

Anwarisme (3): Dua Sahabat Bertarung, Menang Jadi Arang, Kalah Jadi Abu

Oleh AJAB

Dalam kerjaya politiknya dalam UMNO, Anwar amat mengelak tiga orang sahabat baik beliau suatu ketika dahulu, iaitu Sanusi Junid, Ibrahim Ali dan Ustaz Osman Bakar (dari Kampung Gajah).

Beliau menjauhi tiga orang ini kerana mereka tidak pernah takut menyuarakan kritikan berdepan terhadap beliau. Anwar tidak dapat menerima kritikan terbuka ke atas beliau. Kritikan-kritikan yang ditujukan kepadanya biar pun beliau sambut secara manis muka di hadapan khalayak, namun beliau akan pastikan pengkritik menerima akibatnya dibelakang.

Ini gaya Anwar. Politik bermuka-muka. Musuh tidak terasa bila "dibunuh." Anwar lebih cerdik dari Dr. Mahathir. Dr. Mahathir selalu bermasalah dengan populariti kerana beliau bercakap apa sahaja yang beliau rasakan perlu secara berdepan.

Hubungan Awal Anwar - Sanusi Junid

Anwar juga memastikan orang seperti Sanusi Junid dan Ibrahim Ali mati secara perlahan-lahan dalam politik.

Dua orang ini merupakan antara golongan terawal mengenali Anwar. Ketika Ibrahim kurang digemari oleh Anwar kerana bersikap berterus terang, Sanusi dilihat Anwar lebih berbahaya.

Sanusi dilihat merbahaya oleh Anwar kerana beliau merupakan seorang yang "bersih", pintar, penyokong kuat Dr. Mahathir dan mengenali Anwar. Boleh dikatakan Sanusi merupakan mentor Anwar suatu ketika dahulu sama ada di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) mahu pun ketika di Universiti Malaya.

Hubungan awal Sanusi dan Anwar bermula di Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK). Sanusi pernah menyelamatkan Anwar daripada menjadi "mangsa" segelintir pelajar senior yang rakus dan tidak bermoral ketika itu.

[Terdapat riwayat yang mengatakan keluarga Anwar dan Sanusi juga sudah lama bersahabat sejak sebelum kedua mereka terjun ke dalam bidang politik lagi.]

Pada ketika itu Sanusi merupakan Setiausaha Badan Agama (kemudiannya ditukar nama kepada Badan Revolusi Ugama - BRU) yang dinaungi oleh Ustaz Ghazali (Allahyarham). Kemudiannya, kepimpinan BRU diwarisi oleh Ungku Mohsien dengan Anwar telah dilatih oleh Sanusi sebagai pemimpin generasi ketiga kemudiannya.

Hubungan Sanusi-Anwar berterusan bila Anwar masuk ke Universiti Malaya dan Sanusi sudah menjadi eksekutif sebuah bank. Sanusi bukan sahaja memberi banyak tajaan dan bantuan kewangan kepada Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Islam Malasia (PKPIM), malah kemudiannya turut membantu sekolah Yayasan Anda (yang diterajui oleh Anwar dan rakan-rakan) serta sebuah syarikat percetakan milik Anwar dan David.

Dengan kata lain, serba sedikit hidup dan survival kepimpinan Anwar ketika itu dibantu oleh Sanusi bin Junid.

Anwar - Sanusi Di Dalam UMNO

Apabila di dalam Pemuda UMNO, Sanusi juga antara yang menggerakkan jentera membantu Anwar menang jawatan Ketua Pemuda UMNO ketika menetang Datuk Suhaimi Kamaruddin.

Sanusi (dan juga Daim Zainuddin) merupakan penyokong kuat Anwar yang memberi ruang dan peluang kepadanya mendaki tangga demi tangga dalam UMNO. Sanusi melalui rangakain politiknya, manakala Daim melalui kekuatan kewangannya ketika itu dilihat menjadi faktor "force" keluasan pengaruh Anwar dalam UMNO.

Dengan bantuan Sanusi dan Daim (serta restu Mahathir), Anwar seumpama mendapat red carpet dalam mendaki kedudukan sehingga ke jawatan Naib Presiden UMNO.

Namun bermula di sini, Sanusi mula melihat kegelojohan Anwar sehingga mengecilkan hati ramai pemimpin UMNO lain. Bagi Sanusi ini tidak sihat kepada UMNO.

Dua Rakan Akhirnya Berperang

Namun rakan bila bersama di dalam politik tidak semestinya akan kekal karib.

Ketika hampir sebahagian besar Menteri Kabinet UMNO dan Menteri Besar berjaya di kawal oleh Anwar, Sanusi Junid antara yang tidak. Anwar sedaya upaya cuba menarik Sanusi ke dalam kumpulannya. Anwar tidak mungkin boleh mengawal Sanusi kerana Sanusilah antara yang mencipta pengaruh Anwar dalam UMNO di peringkat awal.

Anwar cuba menjadikan Sanusi sebahagian pasukan Wawasan. Namun Sanusi menolak. Sanusi tetap Sanusi. Beliau boleh mencipta sepuluh kawan esok dan sepuluh musuh dalam masa yang sama kerana prinsipnya.

Apabila semua jentera digunakan Anwar untuk menentang Ghafar, Sanusi secara terbuka mengisytiharkan menyokong Ghafar. Akibatnya, bukan sahaja Ghafar kalah, Sanusi dan Abdullah Ahmad Badawi juga kalah.

Anwar mengisytiharkan tiada perpecahan dan sebarang terkilan hati dalam pertandingan tersebut. Namun, selepas itu Anwar mula merangka untuk menjatuhkan Sanusi.

Dua tahun kemudiannya Dr. Mahathir mengejutkan Anwar apabila meletak Sanusi Junid sebagai calon Dewan Undangan Negeri Kawasan Kuah. Keadaan ini menimbulkan desas-desus hebat selepas Pilihan Raya UMUM 1995, Sanusi akan dilantik menjadi Menteri Besar Kedah yang baru menggantikan Tan Sri Osman Aroff.

Bagaimanapun sebaik tamat pilihan raya umum 1995, Osman Aroff masih kekal sebagai Menteri Besar Kedah. Namun Anwar menyedari bahawa Dr. Mahathir tidak mungkin meletak Sanusi bertanding sebagai ADUN kecuali menyerahkan jawatan Menteri Besar Kedah kemudiannya.

Mencaturkan Politik Kedah

Langkah pertama Anwar ialah meyakinkan Osman Aroff supaya jangan melantik Sanusi sebagai EXCO negeri Kedah.

Berlakulah jenaka ketika itu bila Osman Aroff cuba "bersilat lidah." Osman mendakwa beliau telah menghantar surat jemputan perlantikan EXCO kepada Sanusi tetapi tiada jawapan. Manakala Sanusi pula mendakwa beliau tidak menerima sebarang surat.

Jika benar Osman mahu melantik Sanusi ketika itu tentulah beliau boleh menghubungi Sanusi melalui telefon sahaja. Namun ia tidak berlaku. Osman berani kerana menyedari Anwar dibelakangnya.

Langkah Kedua Anwar ialah memastikan imej Sanusi terus tercemar di tempat sendiri.

Dengan tidak melantik Sanusi sebagai EXCO maka kedudukan Sanusi di peringkat Bahagian sudah tergugat. Penangguhan perlantikan Sanusi sebagai Menteri Besar ketika itu dan tibanya Pemilihan UMNO Bahagian terlebih dahulu memberi peluang besar kepada Anwar.

Pada pemilihan UMNO Bahagian Langkawi 1996, "rookie" Bakar Taib (Ahli Parlimen Langkawi dan Setiausaha Parlimen) menumpaskan Sanusi Junid - ADUN Kuah, Ketua Bahagian, bekas Naib Presiden UMNO, bekas Setiausaha Agung UMNO, dan bekas Menteri Pertanian.

Kekalahan ini bukan mudah. Ia memerlukan perancangan bijak kumpulan Anwar dan pembahagian "kek" Kementerian Kewangan ketika itu.

Selain itu, dikatakan wang sebanyak RM 1 juta telah digunakan untuk memastikan Datuk Bakar Taib menewaskan Sanusi dalam pemilihan UMNO Bahagian Langkawi. (Tidak dipastikan sama ada wang tersebut berupa sogokan atau digunakan sebagai pembayaran jentera kempen.)

Tumpaslah Sanusi. Akhbar-akhbar di bawah pengaruh Anwar - Utusan dan Berita Harian- mula memainkan cerita-serita bahawa kerjaya politik Sanusi sudah tamat.

Namun tumpasnya Sanusi tidak menghalang cakap-cakap penukaran MB Kedah sepenuhnya. Biar pun ramai pemerhati politik melihat masa depan Sanusi sudah tamat, namun Dr. Mahathir menyedari agenda untuk "membunuh" Sanusi ini.

Dr. Mahathir tidak mungkin mengundurkan perancangannya sekadar rintangan tersebut. Beliau memanggil Osman Aroff dan mengarahkan supaya meletak jawatan.

Anwar panik dengan berita ini tetapi berjaya mengumpulkan beberapa ADUN Kedah yang berpengaruh. Mereka dijanjikan jawatan MB dengan syarat boleh mengumpulkan kesemua ADUN Kedah dan membuat kenyataan membantah perlantikan Sanusi sebagai Menteri Besar.

22 anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) tiba-tiba mengadakan persidangan akhbar mengumumkan pendirian mereka menolak Sanusi sebagai calon Menteri Besar. Anggota Dewan Undangan Negeri itu meminta Perdana Menteri mengekalkan Osman sebagai
Menteri Besar.

Dr Mahathir menyifatkan tindakan mereka melanggar tradisi parti. Osman pula menafikan beliau di belakang 22 Adun itu. Anggota Dewan Negeri itu kemudiannya memohon maaf kepada Perdana Menteri kerana membuat pengumuman mengenai perkara itu. Tetapi, mereka masih menolak Sanusi.

Namun secara senyap sebahagian besar 22 ADUN tersebut sudah berubah nada bila mengetahui janji Anwar kepada beberapa orang EXCO Kanan UMNO untuk dilantik menjadi MB. Perpecahan dalam senyap kumpulan ini berlaku.

Sebahagian lagi yang terperangkap dalam sidang akhbar yang diadakan tanpa mengetahui tujuan sebenar kemudiannya membuat pengakuan sulit memberi mandat kepada Perdana Menteri untuk menyelesaikan perkara itu.

Strategi Anwar gagal. Gagal bukan bermakna berakhirnya usaha membunuh politik Sanusi.

Antara 1996 - 1998, Sanusi menerima laporan yang cukup negatif dan provokasi dari Utusan Malaysia yang dipimpin oleh Johan Jaaffar ketika itu. (Johan Jaafar diketahui umum sebagai calon payung terjun Anwar dibawa masuk ke Utusan Malaysia dan ini kita akan bincang dalam episod lain).

Sehinggakan ketika itu terdapat jenaka di kalangan pemimpin UMNO bahawa Kedah sedang diperintah oleh PAS.

Oleh kerana Sanusi tidak mempunyai rekod korup atau moral yang meragukan maka Anwar tidak mempunyai sebarang isu peribadi.

Kelemahan Sanusi Diperguna Anwar

Namun Sanusi mempunyai beberapa kelemahan. Antaranya beliau suka memikirkan isu-isu futuristik dan di luar jangkauan khalayaknya. Beliau suka membaca dan kadang-kadang mendapat idea lawak yang dipraktikkan tanpa memikirkan pandangan masyarakat setempat. Akibatnya, Utusan menggunakan idea-idea Sanusi seperti tanam padi atas bumbung, pertandingan mencabut uban dan Liga Bola Sepak Kampung dengan hadiah lembu untuk menunjukkan Sanusi tidak mempunyai idea pembangunan yang berjaya.

Projek-projek utama Kedah di bawah Sanusi seperti tambakan laut, pembangunan Masjid sebagai pusat ilmu, penubuhan beberapa kolej pengajian seperti Insaniah, Projek Kulim Hi Tech Park, penumpuan kepada Industri Kecil dan Sederhana (IKS), dikecilkan atau ditutupkan.

Kelemahan kedua Sanusi ialah beliau tidak boleh bekerja dengan orang yang lembab, malas berfikir dan kurang membaca. Akibatnya beliau berkelahi dengan hampir separuh pegawai tadbir kanan negeri Kedah.

Dalam sebahagian besar isu Sanusi memang betul. Namun dalam politik, ahli politik tidak semestinya selalu menunjukkan beliau betul apatah lagi di kalangan penggerak utama pentadbiran negeri.

Namun politik Sanusi tidak mudah mati. Semuanya kerana beliau tidak mempunyai sebarang isu salah guna kuasa, kewangan dan moral yang boleh Anwar gunakan ke atasnya. Dengan kata lain, moral dan integeriti Sanusi cukup tinggi tanpa perlu beliau ke hulu ke hilir bercakap soal Islam.

Kemarahan Anwar terhadap Sanusi bertambah bila pada JUN 1998, Sanusi mendedahkan kepada Majlis Tertinggi UMNO nama seorang pemimpin UMNO (berserta fakta dan saksi) yang menghasut pemimpin tertinggi parti komponen BN bahawa:

1. Majoriti Ketua Bahagian tidak sokong Presiden UMNO

2. 30 orang ahli Parlimen UMNO akan berjumpa Dr. Mahathir dan akan meminta supaya beliau meletak jawatan. (Malangnya perjumpaan yang berlaku bukan untuk meletak jawatan seperti yang disebarkan oleh pemimpin UMNO tersebut.)

3. Seorang pemimpin UMNO memburukkan nama Dr. Mahathir kepada pemimpin parti komponen dengan pelbagai cerita yang menyatakan Dr. Mahathir tidak suka Presiden parti itu dan parti ini.

Pemimpin UMNO ini sungguhpun diketahui "orang Anwar" namun tiada bukti mendakwa Anwar terbabit. Sebaliknya Anwar sendiri menafikan tahu hal ehwal gerakan ini. Malah dikatakan Anwar sendiri memarahi pemimpin tersebut di depan Dr. Mahathir.

Dalam Perhimpunan Agung UMNO tahun tersebut sekali lagi Sanusi membangkitkan isu ini dengan mengatakan ada orang mahu melagakan Anwar dengan Dr. Mahathir.

Dalam perhimpunan tersebut juga Sanusi memaklumkan kepada perhimpunan bahawa Anwar bertanya kepada beliau mengenai Buku 50 Dalil. Sanusi menyatakan kepada Perhimpunan Agung UMNO 1998,

"Sebenarnya saya tidak payah tulis buku dan tak payah suruh orang tulis. Jika saya mahu kata, saya akan kata berdepan atau berhadap dalam majlis."

"Tapi si penulis, telah menulis dari Pulau Lagenda. Pulau Lagenda itu pulau saya. Saya beritahu Saudara Anwar bahawa di belakang buku itu bukan saya."

"Dia kata dia dah tahu siapa buat. kalau dah tahu tak apalah. Pendeknya dia tidak kata terhadap saya."

Beberapa minggu kemudian, Anwar sudah menjadi sejarah apabila dipecat dari jawatan Timbalan perdana Menter, Menteri Kewangan dan Timbalan Presiden UMNO.

Sanusi pula muncul sebagai antara musuh utama penyokong Anwar.

Menang Jadi Arang, Kalah Jadi Abu

Hasrat Anwar untuk "membunuh Sanusi" tidak tercapai kerana beliau sendiri tumbang terlebih dahulu pada 1998.

Anwar menuduh Sanusilah antara konspirator terbesar kejatuhannya selain Aziz Shamsuddin.

Namun Sanusi tumbang juga akhirnya. Kemenangan tipis BN Kedah menang pada 1999 menyebabkan timbul desakan supaya Sanusi berundur.

Sanusi sedar beliau harus menjadi kambing hitam bagi mengawal kemusnahan yang lebih besar. Sanusi melepaskan jawatan Menteri Besar Kedah.

Dalam masa yang sama Anwar didapati bersalah atas tuduhan rasuah dan salah guna kuasa (Mengarahkan Pegawai Cawangan Khas atas kepentingan peribadi) serta menunggu perbicaraan liwat.

Pertarungan dua rakan ini sungguh hebat sehingga akhirnya yang menang jadi arang, yang kalah jadi abu. Sanusi hilang jawatan, anwar menerima hukuman penjara.

Sanusi menjadi arang dan tidak mungkin melakukan comeback lagi.

Tapi Anwar menjadi abu. Mampukah Anwar bangkit dari abu menjadi gagah semula? Hanya masa menentukan.

Thursday, May 31, 2007

Anwarisme (1): Cubaan Menjadi Diktator Dalam UMNO Dengan Membunuh Rakan

Oleh AJAB

Sesiapa sahaja yang menyokong Anwar Ibrahim harus menerima hakikat bahawa - Anwar Ibrahim naik atas liku-liku pelbagai janji palsu, membunuh rakan politik yang dianggap mampu mencabar beliau dan sedia mencetuskan huru-hara bagi mendapatkan keuntungan politik.

Hebatnya Anwar sebagai pemimpin politik melangkau pemikiran Niccolò di Bernardo dei Machiavelli atau lebih terkenal sebagai falsafah Machiavellian. Machiavelli terkenal menerusi bukunya The Prince yang antara lain mempopularkan frasa politik "Matlamat Menghalalkan Cara".

Ratusan tahun manusia politik, agama dan moralis membicarakan falsafah Machiavellian. Namun, hakikatnya Niccolò di Bernardo dei Machiavelli tidak mencapai tahap yang tertinggi takhta kepimpinan politik pada zamannya. Tidak dapat dinafikan beliau memainkan banyak peranan yang signifikan dan penting kepada kerajaan Italy kurun ke 16.

Kedudukan Machiavelli tidak setaraf pun pencapaian Anwar Ibrahim yang menjadi orang kedua berkuasa di Malaysia suatu ketika dahulu. Namun seperti Machiavelli, Anwar bersedia melakukan apa sahaja bagi mencapai matlamat.

Berbeza Machiavelli yang matlamat beliau adalah negara Rom atau Italy ketika ini, matlamat Anwar hanyalah keputeraan Anwar Ibrahim sebagai pemimpin politik nombor wahid di Malaysia.

Penulis tidak berniat untuk membawa satu lagi perdebatan dan perbahasan prinsip dan pandangan Anwar yang dianggap sesetengah pihak berubah dari seorang pejuang rakyat kepada nasionalis dan akhirnya menjadi "darling" barat. Kita tinggalkan hal tersebut di masa lain.

Tamatnya Riwayat Politik Panglima Setia

Dalam politik Malaysia Anwar akan diingati sebagai antara tokoh yang paling banyak membunuh rakan politik beliau.

Sebagai ahli politik muda yang mempunyai jentera kepimpinan muda yang taksub dengan imej Islamnya (ABIM) Anwar dengan mudah meyakinkan umum bahawa beliau seorang yang taat kepada ajaran Islam, boleh dipercayai, amanah dan setia kepada rakan.

Namun sejarah menyaksikan Rahim Tamby Chik, Muhammad Mohd Taib, Sanusi Junid, Ghafar Baba dan ramai lagi di peringkat negeri ditumbangkan secara tidak bermaruah oleh Anwar.

Cerita muka depan Utusan Malaysia, bahawa Rahim Tamby Chik mempunyai hubungan dengan gadis bawah umur adalah kali pertama dalam sejarah ditulis melalui maklumat Mesyuarat Pengarang Utusan Malaysia di bawah pimpinan Johan Jaaffar ketika itu. Sesiapa yang mengenai Yazid Othman (bekas wartawan Utusan Malaysia dan bekas Presiden Kelab Wartawan Melayu Malaysia) boleh mencari pengesahan dari beliau.

Tidak cukup dengan Utusan, beberapa konco-konco Anwar juga menyalurkan maklumat dan wang (secara tidak langsung) kepada Parti Tindakan Demokratik (DAP). Lim Guan Eng menjaja isu ini ke merata tempat.

Sama ada benar atau tidak dakwaan tersebut tidak pasti (walaupun beberapa tahun selepas Anwar hilang kuasa dan juga kawalan ke atas Media Massa utama negara - Utusan dan NSTP), gadis tersebut muncul membuat akuan bersumpah menafikan dakwaan Utusan dan lim Guan Eng.

Rahim Tamby Chik salah seorang daripada penyokong kuat Anwar yang membantu kemenangan besar Team Wawasan pada pemilihan UMNO 1993. Kekuatan akar umbi anggota Pasukan Wawasan - Rahim Tamby Chik (ketika itu Ketua Menteri Melaka), Najib Tun Razak (bekas Menteri Besar Pahang termuda dan antara Menteri Kanan ketika itu), Muhammad Mohd Taib (ketika itu Menteri Besar Selangor) dan Muhyiddin Yassin (Ketika itu Menteri Besar Johor)telah berjaya memastikan Anwar menang besar dalam pencalonan bahagian-bahagian untuk jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Rahim dibunuh kerana ia sudah menjadi lebih besar dari Anwar. Rahim yang menang jawatan Ketua Pemuda UMNO dilihat sebagai cabaran utama kepada masa depan politik Anwar. Selain kejayaan beliau membangungkan Melaka dengan pesat, Rahim juga mempunyai perwatakan yang 'charming' dan mudah didekati seperti Anwar. Ini menimbulkan satu masalah kepada Anwar.

Kekuatan Rahim ketika itu sudah besar. Seandainya sesuatu berlaku dan Rahim bergabung dengan Najib, Anwar pasti mempunyai masalah besar biarpun beliau sentiasa mendapat perlindungan Dr. Mahathir. Anwar tahu bahawa seandainya berlaku pertarungan Najib-Anwar, belum tentu Dr. Mahathir akan menyebelahi beliau sepenuhnya.

Justeru Anwar membunuh Rahim melalui media kawalannya - Johan Jaaffar (Ketua Pengarang Parachut di Utusan), Ahmad Nazri Abdullah (Ketua Pengarang Berita Harian)dan Ketua Editor TV3 (maaf nama beliau sudah terlupa kerana kurang popular tapi banyak menjalankan kerja di sebalik tabir untuk Anwar).

Mat Taib Terlalu Besar

Masalah kedua Anwar ialah Muhammad Mohd Taib. Mat Taib yang juga dikenali sebagai Mike Tyson Malaysia turut dilihat mula mengembangkan pengaruh yang tidak diperlukan oleh Anwar. Sebagai Menteri Besar negeri termaju di Malaysia, Mat Taib mempunyai banyak sebab untuk disukai oleh ahli UMNO.

Dalam banyak hal Mat Taib dilihat mewakili imej ahli UMNO biasa sederhana, bersifat kemelayuan yang diterima di kampung dan bandar(kecuali isu perkahwinan beliau dengan Ku Yah) dan "pemurah" kepada ahli UMNO. Mat Taib juga memprojekkan imej Melayu Baru yang lain dari imej Anwar - Islamisme Melayu.

Sungguhpun Mat Taib tidak mungkin menentang Anwar, namun Anwar tidak memerlukan rakan politik yang hampir setara populariti dengan beliau. Akhirnya Mat Taib ditangkap kerana membawa wang lebih had masuk ke dalam Australia tanpa membuat pengisytiharan yang dikehendaki. Sehingga hari ini penganalisis politik percaya pihak Australia telah diberi tips dari seseorang berpengaruh di Malaysia.

Tamatlah riawayat satu lagi orang kuat Anwar hanya kerana ia dilihat oleh Anwar semakin berpengaruh.

Anwar tidak berani menyentuh secara langsung Najib Tun Razak. Antara sebabnya, Najib dilihat antara pemimpin muda yang diberi sedikit laluan dan ruang oleh Dr. Mahathir. Anwar berpendapat masa belum tiba untuk beliau membunuh Najib kerana ia boleh menjadi boomeerang.

Melalui jaringan yang ada pasukan Anwar mencipta khabar angin bahawa Najib Tun Razak kena tangkap basah dengan Ziana Zain di Port Dickson. Khabar angin ini dibiarkan terlalu lama sehingga bila muncul Mufti Negeri Sembilan menafikan tangkapan tersebut, nasi sudah menjadi bubur.

Anwar juga telah menyalurkan beberapa maklumat kontrak Kementerian Pertahanan kepada beberapa penulis buku politik supaya mengolah cerita menunjukkan seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena dalam kontrak-kontrak tersebut.

Imej Najib sudah tercemar. Najib tidak mungkin jatuh dengan cerita-cerita ini namun ia juga sukar lagi mencabar imej islam melayu Anwar.

Dari jatuhnya mereka inilah munculnya ruang untuk Zahid Hamidi, Saifuddin Nasution, Rahim Ghouse dan beberapa lagi nama yang diperkasakan oleh kekuatan wang dan medua Anwar .

Anwar sudah bersedia menjadi diktator dalam UMNO. Kesediaan beliau membunuh dua panglima perangnya (Rahim dan Mat Taib) memberi isyarat jelas kepada orang lain supaya jangan terlalu menonjol. Ia juga menyediakan ruang dan peluang untuk Anwar membentuk satu generasi baru pelapis yang dengar cakap, dengar kata dan taksub kepada beliau.


Antara 1993-96 - Anwar sedang mencipta sistem diktator "terindah" dalam UMNO menerusi pengaruh, kuasa media dan kekuatan wang yang beliau miliki.

ISNIN: Anwar Tamatkan Riwayat Politik "Rakan Lama Tapi Musuh Politik."