Friday, May 25, 2007

Wolfowitz, Shaha Riza dan Anwar

Oleh: ZIN MAHMUD

AKHIRNYA Jumaat lalu, Presiden Bank Dunia, Paul Wolfowitz mengumumkan pelepasan jawatannya berkuat kuasa 30 Jun ini. Keputusan itu dibuat atas tekanan dan beliau mengumumkannya setelah Lembaga Pengarah menyifatkan tindak-tanduk Wolfowitz yang kontroversi melibatkan kenaikan gaji rakan wanitanya, Shaha Riza dibuat dengan etika dan niat baik.

Walaupun Selasa lalu, panel khas lembaga pengarah bank itu membuat kesimpulan bahawa Wolfowitz melanggar peraturan dan melakukan perbuatan konflik kepentingan, tetapi dalam kenyataan Jumaat lalu, pihak bank tidak menyalahkan sesiapa.

Kenyataan bahawa kesilapan berlaku tanpa menyatakan sesiapa merupakan langkah menyelamatkan air muka Wolfowitz yang sebelum ini enggan melepaskan jawatan. Wolfowitz berulang kali menyatakan keengganannya untuk melepaskan jawatan di mana kedudukannya disokong oleh Presiden George W. Bush. Dalam dia mengaku membuat kesilapan, beliau menegaskan perlunya misinya di Bank Dunia diselesaikan demi menyelamatkan orang miskin, khususnya di pinggiran Sahara Afrika.

Tetapi dengan pihak Bank Dunia tidak meletakkan kesalahan pada beliau, maka tindakan itu boleh dianggap sebagai menyelamatkan air muka apabila ternyata akhirnya tokoh neokonservatif itu mengundurkan diri.

Kontroversi Wolfowitz secara permukaan kelihatan seperti kes nepotisme biasa di mana seorang yang berpengaruh menyalahgunakan kuasanya untuk kepentingan rakan wanitanya. Tetapi yang berlaku lebih daripada itu. Sebagai tokoh neokonservatif, fahaman yang memperjuangkan hegemoni Amerika Syarikat (AS) dengan menggunakan kekuatan tentera, Wolfowitz juga dikenali sebagai penggerak kepada Perang Iraq. Sebagai bekas timbalan setiausaha pertahanan AS, beliau menjadi penasihat Bush dalam menggerakkan perang menentang keganasan termasuk di Afghanistan dan Iraq.

Sudah tentu, di AS dan Eropah, Wolfowitz melahirkan banyak musuh khususnya di kalangan kiri, baik dari Parti Demokratik, mahupun di negara-negara Eropah yang mempunyai komuniti politik kiri berpengaruh.

Walaupun mereka terpaksa akur terhadap pilihan Bush supaya Wolfowitz menjadi Presiden Bank Dunia, tetapi golongan ini dikatakan sentiasa menanti peluang untuk menyingkirkan Wolfowitz kerana penolakan mereka terhadap neokonservatisme.

Maka kontroversi Shaha Riza ini merupakan peluang yang dinanti-nantikan. Di AS dan Eropah Barat, media politik, baik dalam bentuk cetakan mahupun Internet menyiarkan pelbagai laporan dan komen untuk mencari kesalahan dan kelemahan Wolfowitz. Antaranya ialah majalah mingguan politik tertua di AS, The Nation. Majalah yang bebas daripada sebarang politik ini diterbitkan sejak 1865 dan membawa tulisan-tulisan kritikal terhadap perkembangan politik di AS. Ia juga menyediakan laman web dan blog yang berwibawa.

Pengarang The Nation bagi Washington, David Corn dalam blognya mengikuti perkembangan Wolfowitz dari awal kontroversi ini tercetus. Dengan bantuan penyelidikan oleh pemberitanya, Stephanie Cordon, Corn memaparkan bagaimana konflik kepentingan berlaku.

Shaha Riza sedang bekerja dengan Bank Dunia sebagai pegawai komunikasi bahagian Timur Tengah semasa Wolfowitz dilantik presiden pada tahun 2005. Melihat apa yang beliau sebut sebagai ‘‘potensi konflik kepentingan’' kerana Wolfowitz akan menjadi bos kepada teman wanitanya itu, maka diaturkan supaya Shaha terus menjadi kakitangan bank tetapi dipindahkan daripada bank itu. Bermakna walaupun gajinya dibayar oleh bank itu tetapi dia tidak bekerja di bawah Wolfowitz.

Dari segi ini, Wolfowitz bertindak secara beretika bagi mengelak nepotisme dan konflik kepentingan. Masalahnya ialah perpindahan itu menyebabkan kenaikan gajinya sebanyak 36 peratus iaitu daripada AS$132,660 kepada AS$180,000 setahun dengan jaminan kenaikan sebanyak lapan peratus. Kenaikan ini pula dibuat di atas tekanan dan pengaruh Wolfowitz.

Bagaimana kenaikan gaji ini berlaku melibatkan pelbagai hujah, yang dikesan menerima campur tangan daripada Wolfowitz. Corn memaparkan tahap-tahap hujah ini dalam blog beliau.

Pada September 2005, pakej gaji Shaha selesai diputuskan. Bank Dunia dan Jabatan Negara (Kementerian Luar bagi AS) setuju meletakkannya dalam Biro Hal Ehwal Timur Dekat. Kalau Timur Tengah merujuk pada Asia Barat, Timur Dekat membabitkan negara-negara Asia dan Afrika di pesisiran Laut Mediterranean.

Shaha diberi tanggungjawab membangun yayasan yang fokus kepada reformasi di Timur Tengah dan Afrika Utara. Pada masa itu, yang menyelaras inisiatif Timur Tengah ialah anak Naib Presiden AS, Dick Cheney bernama Elizabeth atau Liz Cheney sebagai ketua timbalan penolong setiausaha biro tersebut.

Yayasan itu dinamakan Foundation for the Future, atau Yayasan bagi Masa Depan yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Melihat kepada laman web yayasan itu, pernyataan misinya ialah menyokong pertubuhan masyarakat sivil dalam usahanya untuk menyemai demokrasi dan kebebasan di Timur Tengah dan Afrika Utara.

Mandatnya menumpukan perhatian kepada menyokong pilihan raya yang bebas, adil dan benar-benar kompetitif, peraturan undang-undang, akses kepada ketelusan maklumat, kebebasan berpersatuan, kebebasan media, akses kepada pendidikan sivik, pemerkasaan wanita dan hak asasi manusia seperti termaktub dalam konvensyen dan persetujuan antarabangsa.

Selain daripada Anwar sebagai pengerusi, lain-lain anggota lembaga pengarah ialah Rahma Bourqia dari Maghribi, Kamel Abu Jaber dari Jordan, Laila al-Hamad dari Kuwait, Bakhtiar Amin dari Iraq, Andreu Claret Serra dari Sepanyol, Burhan Ghalioun dari Syria, Jamil Mroue dari Lebanon, Sandra Day O‘Conor dari AS, Abdul Rahman al Rashed dari Arab Saudi, Naguib Sawiris dari Mesir dan Dr. Cornelio Sommaruga dari Switzerland.

Yayasan ini berbentuk multilateral, tidak membuat keuntungan dan fokus pada memberi geran sebagai pembiayaan kepada pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bekerja untuk kebebasan dan demokrasi di Afghanistan, Algeria, Bahrain, Mesir, Iran, Iraq, Jordan, Kuwait, Lebanon, Libya, Maghribi, Oman, Pakistan, Palestin, Qatar, Arab Saudi, Syria, Tunisia, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Yemen.

Menurut laman web yayasan itu, setakat ini negara-ne- gara yang telah berjanji untuk menyumbang biaya ialah Bahrain, Denmark, Suruhanjaya Eropah, Greece, Hungary, Itali, Jordan, Belanda, Qatar, Sepanyol, Switzerland, Turki, United Kingdom dan AS.

Corn dalam blognya yang tersiar di laman web The Nation itu menyatakan bahawa pada 1 Oktober lalu, Anwar telah menulis kepada seorang pembantu kanan Wolfowitz di Bank Dunia, Robin Cleveland meminta supaya dipindahkan Shaha dari Jabatan Negara kepada Foundation for the Future. Dua bulan kemudian, bank itu menyatakan persetujuannya.

Pengarang itu selanjutnya menceritakan bagaimana Wolfowitz berkenalan dengan Anwar pada tahun-tahun 1980-an ketika beliau menjadi duta AS di Indonesia. Maklumat ini, menurut Corn diperoleh daripada Aasil Ahmad yang dikatakan seorang penasihat kepada Anwar.

Sepanjang Anwar dalam penjara, menurut Corn, Wolfowitz adalah orang yang kuat membela beliau. Sejurus selepas Peristiwa 11 September, katanya, Anwar yang masih di penjara menulis satu esei mengecam serangan itu dan menyeru umat Islam menangani soal ‘‘penderitaan yang ditanggung oleh umat Islam di Iraq akibat diktatornya” iaitu merujuk kepada Saddam Hussein.

Selepas Anwar dibebaskan daripada penjara pada tahun 2004, Wolfowitz, menurut Corn terbang ke Jerman untuk bertemu beliau. Pada tahun berikutnya, Anwar menyatakan sokongannya ke atas pelantikan Wolfowitz sebagai presiden Bank Dunia tetapi menegaskan bahawa beliau tidak berkongsi pandangan Wolfowitz mengenai perang Iraq.

Menurut Corn, memetik kata-kata Aasil, ketika berusaha menubuhkan Foundation for the Future itu, Shaha melantik Anwar untuk menjadi penasihat awalnya. Kedua-duanya kemudian memilih ahli-ahli lembaga pengarah dan menggubal mandat yayasan itu.

Foundation for the Future walaupun bukan sebuah agensi kerajaan AS telah menerima komitmen AS$35 juta dari AS dan kira-kira $20 juta diikrar oleh kerajaan-kerajaan lain.

Memetik kata-kata Aasil, Corn menulis bahawa presiden pertama yayasan itu ialah Bakhtiar Amin, seorang Iraq yang pernah menjadi menteri kerajaan sementara pertama Iraq di bawah AS. Bagaimanapun dia meninggalkan jawatannya kerana dikatakan tidak berkemampuan dengan memetik seorang sumber yang pernah bekerja dengan yayasan itu.

Yayasan itu dikatakan tidak mempunyai ketua pegawai kewangan dan ketua pegawai operasi. Tahun lalu, ia membuat keputusan membuka pejabat di Beirut sebelum perang berlaku. Ia juga tidak mempunyai pejabat tetap di Washington. Permintaan maklumat melalui e-mel tidak dijawab dan laman webnya itu tidak membekalkan nombor telefon.

Operasi harian dikatakan dilakukan oleh Shaha. Aasil, menurut Corn memberitahu bahawa geran akan mula diberikan pada awal Jun. Tetapi maklumat yang diperoleh dari blog di laman-laman web lain di AS lebih menarik mengenai Shaha Riza. Oleh kerana komuniti yang menentang Perang Iraq, justeru bermakna anti- Wolfowitz adalah ramai, maka ia terserlah dalam ruang siber.

Antaranya ialah Moon of Alabama yang memetik laman web Daily Kos dan The Washington Note.

Tulisan Bernhard bertarikh 16 April lalu di Moon of Alabama dengan tajuk ‘‘Wolfowitz, CIA, Lebanon – Get the picture’' menyebut bahawa sebelum bekerja dengan Bank Dunia pada tahun 1997, Shaha Riza bekerja untuk National Endowment for Democrasy (NED), sebuah NGO yang ditubuhkan melalui pentadbiran Presiden Ronald Reagan, yang beroperasi membiayai usaha mengubah kerajaan dan membantu parti-parti politik asing yang pro-AS.

Dengan memetik Rightweb, sebuah laman web yang kerjanya mendedahkan rangkaian dan agensi golongan kanan di AS untuk melihat kaitan mereka bagi melancarkan perang menentang keganasan, termasuk Perang Iraq, dinyatakan bahawa NED dipengerusikan oleh Vin Weber dengan ahli lembaga Francis Fukuyama, bekas ahli lembaga Paula Dobriansky dan Paul Wolfowitz menandatangani pernyataan pengasas Projek bagi Abad Baru Amerika.

Pernyataan Projek bagi Abad Baru Amerika kini dikenali sebagai manifesto neokonservatisme.

Dobriansky dan Wolfowitz menyertai pentadibran Presiden George W. Bush pada tahun 2001. Fukuyama yang menulis buku-buku memperjuangkan neokonservatisme kini sudah meninggalkan fahaman itu.

Laman web Moon of Alabama itu juga memetik satu laporan dari Arab News, akhbar harian bahasa Inggeris di Timur Tengah paling terkemuka bertarikh 16 November 2006 yang mamaparkan tentang kehadiran Setiausaha Negara AS, Condoleeza Rice dan Liz Cheney di Forum of the Future (Forum Masa Depan) di Bahrain.

Mereka menyaksikan pelancaran dua institusi iaitu Fund of the Future (Dana bagi Masa Depan) bernilai AS$100 juta bagi menyediakan modal untuk perniagaan kecil dan sederhana. Institusi kedua ialah Foundation for the Future bernilai AS$55 juta yang ditubuhkan untuk menyokong NGO bagi melaksanakan projek-projek bagi menggalakkan kebebasan akhbar dan demokrasi.

No comments: