Wednesday, October 31, 2007

Anwar Akan Cemari Perhimpunan BERSIH

Perhimpunan sebuah NGO yang menggunakan nama BERSIH pada 10 November ini di Dataran Merdeka mungkin berniat baik. Mereka inginkan pilihan raya yang bersih.

Namun apabila Malaysiakini.com melaporkan pengesahan kehadiran Datuk seri Anwar Ibrahim dalam perhimpunan 100 ribu orang itu, penulis merasakan ia akan memberi natijah dan implikasi yang berlainan sama sekali.

Sejarah membuktikan bahawa setiap kali apa sahaja bentuk bantahan atau protes yang membabitkan Anwar sebagai dalang, mastermind mahu pun penggerak akan berakhir dengan keganasan, kacau-bilau dan huru hara.

Demontrasi kemiskinan Baling 70-an

Kita hanya perlu berbalik pada tahun 70-an bila Anwar antara penggerak Demontrasi Kemiskinan Baling mencetuskan huru hara besar di kampus Universiti Malaya. Anwar tahu bahawa ia perlu memainkan emosi orang ramai untuk mendapat perhatian dan sokongan besar. Justeru bagi melaksanakan agenda beliau maka cerita kemiskinan ketika itu ditokok tambah bagi menarik sentimen para pelajar.

Sehingga hari ini dakwaan kumpulan Anwar bahawa terdapat petani yang mati kebuluran di Baling tidak pernah dapat beliau buktikan.

Kekecohan APCET II

Pada 9 November 1996, satu Persidangan Asia Pasifik Mengenai Timor Timur ke -2 (Apcet II), telah diadakan bagi mempromosi kemerdekaan Timor Timur dari Indonesia. Persidangan ini khabarnya ditaja oleh kerajaan Portugal dan beberapa pertubuhan Kristian.

Kerajaan Malaysia jelas tidak bersetuju dengan persidangan ini kerana ia membabitkan masalah dalaman Indonesia dan juga membabitkan sensitiviti agama. Namun kerajaan tidak boleh berbuat apa-apa kerana ia merupakan persidangan dalam tempat tertutup yang tidak memerlukan permit polis dan tiada pelanggaran undang-undang.

Bantahan dari pelbagai parti politik dan NGO sudah pun disuarakan. Namun penganjur nekad meneruskannya.

Pada hari tersebut, Pemuda UMNO dengan diketuai oleh Saifuddin Nasution, Abdul Rahim Ghouse dan sebilangan EXCO Pemuda UMNO dan pemimpin NGO mengetuai Barisan Bertindak Rakyat Malaysia (BBRM) menyerbu persidangan tersebut atas Anwar Ibrahim.

Ini menyebabkan Polis mengambil keputusan menyuraikan perhimpunan tersebut. Lebih 100 orang dari kedua-dua kumpulan ditangkap.

sila baca APCET II: Dulu Anwar Dapat Nama, Sekarang Mahathir Yang Salah)

Konflik Islam - Kristian

Jangan juga dilupakan bahawa hampir tercetus konflik Islam-Kristian di Malaysia apabila Anwar (ketika itu Timbalan Perdana Menteri) membawa seorang penceramah terkenal Ahmad Deedat untuk mendebatkan kebenaran Islam berbanding Kristian secara terbuka di Dataran Merdeka. Sungguhpun tidak banyak dilaporkan media, namun peristiwa tersebut hampir mencetuskan konflik agama yang besar.

Bagi menutup kesilapan beliau dan mengurangkan konflik dalam senyap ini, kerajaan telah mencadangkan penubuhan Institut Dialog Perdaban di Universiti Malaya dan Anwar diberi tanggungjawab khusus mengumumkan dan melaksanakannya.


Kekacauan 1998

Pada 1998, apabila Anwar dipecat dari kerajaan dan UMNO, beliau sekali lagi mencetuskan kekacauan dan huru hara di Kuala Lumpur. Beliau menjelajah ke serata negara mempertahankan dirinya dan menghasut orang ramai bangun menentang kerajaan. Kemuncaknya di Kuala Lumpur beliau menyampaikan ucapan berapi-apai kepada puluhan ribu pengikutnya dan menggesa mereka berarak ke PWTC dan seterusnya ke Seri Perdana.

Ruang legar PWTC dimusnahkan oleh penyokongnya, Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) menjadi huru hara dan akhir sekali puluhan ribu penyokongnya berkumpul di Seri Perdana untuk menjatuhkan Perdana Menteri yang diberi mandat oleh jutaan penduduk Malaysia.

Dalam keadaan Kuala Lumpur yang penuh kekacauan itu, Anwar tidak pula bersama penyokongnya. Sebaliknya beliau pulang berehat ke rumah.

Jika tidak ditangkap oleh Polis malam tersebut, nescaya tiada siapa tahu bahawa Anwar menyusup pulang ke rumah selepas mengarahkan penyokongnya berarak menunjuk perasaan di sekitar Kuala Lumpur.


Anwar mempunyai rekod yang cemerlang dalam membakar emosi orang dan menimbulkan kekacauan.

Justeru perhimpunan 100 ribu orang sabtu ini amat sukar sekali dijalankan dalam keadaan baik dengan kehadiran Anwar dan Parti Keadilan Rakyat.

Friday, October 26, 2007

Anwar Mahu Jadi Badut atau pemimpin?

Anwar terus mendapat tumpuan media berikutan tindakan beliau bermain tarik tali dalam isu Video klip VK Linggam. Sepanjang minggu beliau menyatakan enggan menyerah rakaman penuh video klip tersebut. Malah diajaknya para penyokong beliau berkumpul beramai-ramai di pejabat beliau 30 minit sebelum temu janji beliau dengan BPR. Apa tujuan beliau?

Mengetahui Anwar sebagai pakar mencetuskan kekacauan maka tidak mustahil ia hanya merupakan satu lagi usaha terdesak Anwar mencari populariti dengan memperjudikan keselamatan para penyokongnya. Apakah tidak mustahil kekecohan akan tercetus jika pegawai BPR menghadiri temu janji dipejabatnya tersebut? Masih ingatkan malam pemecatan beliau dari UMNO atau bagaimana beliau menghasut para penyokongnya berarak ke PWTC dan Seri Perdana tetapi beliau pulang ke rumah?

Jika kita membaca Malaysiakini.com, kita akan dapati Anwar begitu bertegas enggan menyerahkan video klip tersebut kononnya untuk melindungi pemberi maklumat. Bukankah lucu alasan Anwar ini? Apakah jika video tersebut tulen maka VK Linggam tidak mengetahui siapa yang merakamkannya dan menyebarkannya?

Beberapa jam sebelum pertemuan tersebut Anwar mengubah pendirian dengan bersetuju untuk menyerahkannya. Mengapa dan kenapa masih menimbulkan tanda tanya? Apakah keselamatan pemberi maklumat sudah tidak penting? Atau kerana beliau menerima maklumat bahawa jumlah yang bakal hadir ke pejabatnya pagi tadi tidak seramai yang beliau harapkan?

Yang pasti pegawai BPR bukanlah UTK. Melihat saranan Anwar beberapa hari lalu meminta solidariti penyokongnya, tentulah ia memberi kesan kepada perancangan BPR. Apakah mereka akan meredah masuk hanya sekadar akan mencetuskan suasana tegang kemudiannya?

Cuma Anwar jika ia pemimpin yang baik tentulah akan menyerah kepada BPR tanpa sebarang keperluan mencetuskan emosi penyokongnya. Apa perlu ditegangkan keadaan hanya untuk menyerah salinan video yang beliau boleh copy berpuluh ribu pun sebagai salinan lain.

Cuma kasihan Anwar, dalam keadaan begitu bersemangat beliau beberapa hari lalu untuk mengingkari undang-undang, hanya 100 penyokongnya hadir.

Wednesday, October 17, 2007

Ada Apa Dengan Reformasi Anwar?

Dalam wawancara bersama stesen televisyen al-Jazeera, Anwar Ibrahim ditanya oleh Riz Khamis, mengapa beliau dilihat sebagai "all things to all people or try to please everyone."

Dengan kata lain, Riz cuba menyoal mengapa terdapat pandangan bahawa perjuangan dan falsafah politik Anwar sentiasa berubah mengikut khalayak. Ini memang diakui oleh ramai pengkaji politik bahawa Anwar mempunyai kebolehan bercakap topik yang sama dengan pendirian berbeza mengikut khalayak beliau.

Malangnya dalam jawapan kepada Riz Khamis, pengacara One on One, Anwar menjelaskan bahawa beliau memetik pandangan-pandangan pemikir dan sasterawan pelbagai kaum sebagai mantera ucapannya sahaja.

Ini bukanlah maksud sebenar pengkritik Anwar mahu pun Riz Khamis. Riz dan ramai lagi orang mahu tahu mengapa Anwar boleh bercakap kepada orang Cina untuk menghapuskan DEB tetapi bercakap kepada orang Melayu mengenai mempertahankan DEB.

Orang mahu tahu mengapa Anwar semasa dalam kerajaan bercakap soal kebebasan media bila berada bersama-sama rakan-rakan sekutu beliau di Amerika, tetapi di dalam negara sebdiri beliau menguasai akhbar Utusan, Berita Harian dan Tv3 ketika itu?

Orang ramai mahu tahu mengapa Anwar bercakap kejelikan isu kronisme dan nepotisme kepada masyarakat kewangan antarabangsa (bagi mendapat pujian dan sanjungan) tetapi beliau juga yang mengagihkan saham-saham Hicom sewaktu mahu menjadi Timbalan Presiden UMNO dahulu? Bapa beliau juga, bekas seorang paramedik, telah menjadi Pengerusi IOI sekelip mata dan IOI pula mendapat (dengan bayaran premium) sekian besar tanah di Puchong dan berhampiran Putrajaya.

Orang ramai juga mahu tahu mengapa dua minggu selepas mengisytiharkan Ghafar seumpama bapanya dan tidak akan menentangnya, jentera Anwar sudah bergerak serata negeri bagi menggerakkan sokongan kepada Anwar dalam pemilihan UMNO 1993?

Dalam wawancara yang sama, dan juga tulisan beliau di Malaysiakini.com sebelum ini, Anwar mendakwa badan kehakiman negara ini korup dan tidak bebas (dikawal oleh kerajaan).

"Abdullah memberi sedikit kebebasan kepada kehakiman dalam mana ada keperluan." kata Anwar kepada al-Jazeera merujuk kepada kepada keputusan penghakiman yang membebaskan beliau.

Bukankah aneh dakwaan ini? Apa sahaja yang menguntungkan beliau maka dianggap keputusan yang adil dan bebas, tetapi apa sahaja yang tidak menguntungkan beliau akan dianggap sebagai tidak bebas.

Bukankah sifat Anwar ini tidak lebih seperti ungkapan Jeneral Rabuka, ketika merampas kuasa di Fiji suatu ketika dahulu, bahawa, "Keadilan dan kebenaran bergantung dari sudut pihak mana anda melihatnya"?

Jika Anwar benar-benar percaya bahawa kehakiman negara tidak bebas dalam membuat keputusan yang adil, maka beliau sepatutnya mengisytiharkan pembebasan beliau juga dilakukan atas arahan pemerintah bukan kerana beliau tidak bersalah.

Malangnya, Anwar tiada keberanian dan semangat perjuangan tulen untuk berkata demikian. Anwar hanyalah oportunis. Beliau akan menerima apa sahaja keadaan yang menguntungkan dirinya. Perjuangan beliau hanyalah kosmetik semata-mata.

Beliau berkata mahukan pembaharuan Keadilan dan Kehakiman tetapi beliau tidak bersedia pun untuk berjuang untuknya jika tiada keuntungan peribadi.

Lihat sahaja liku perjuangan Anwar. Beliau akan melupakan perjuangan bila melakukan sebaliknya boleh mencapai keuntungan peribadi.

Beliau tinggal perjuangan Islam beliau kerana ditawar sesuatu oleh UMNO. Dalam UMNO beliau ketepikan Ku Li kerana Mahathir boleh menjanjikan jawatan dan kedudukan yang lebih baik.

Beliau hanya berjuang untuk reformasi / pembaharuan hanya apabila ditolak oleh UMNO.

Beliau bercakap soal korupsi dan keadilan hanyalah apabila dipecat dan didakwa di mahkamah. Untuk apa ini jika bukan untuk menyelamatkan dirinya? Berpuluh tahun dalam kerajaan, mengetuai Jawatankuasa Anti Rasuah Kabinet, menjadi pemangku Perdana Menteri Selama dua bulan apa yang dilakukannya? Hanya mencari jalan membunuh musuh politiknya sahaja.

Kini beliau bersama DAP dan Pas kerana parti tersebut memberi keuntungan kepada beliau.

Kini beliau bercakap soal pembaharuan kehakiman dan keadilan (justice) kerana itu modal politik beliau. Jika esok beliau ditawarkan masuk UMNO dengan kedudukan tertentu, pastinya UMNO dan BN akan menjadi baik segalanya. Maka bercakaplah beliau soal penyatuan Melayu, kepentingan orang Melayu dan Islam sederhana.

Maka apa ada dengan reformasi Anwar? Semuanya ciptaan beliau untuk diri sendiri.

Monday, October 8, 2007

Video VK LInggam (III): Mahu Cari Kebenaran Atau Pendengar Ceramah

Bagi mereka yang mempunyai fikiran terbuka, selain tertanya-tanya ketulenan video perbualan oleh kononnya V.K. Linggam, kita juga akan tertanya-tanya mengapa perlu dirahsiakan sumber yang membocorkannya?

Dakwaan ingin melindungi pemberi maklumat bukan sahaja dangkal malah boleh menimbulkan kesan lebih serius.

Dangkalnya alasan itu kerana jika video tersebut tulen, maka V.K. Linggam pasti sudah mengetahui siapa pemberi makumat tersebut. Berdasarkan suasana dalam video yang ditayangkan, pasti hanya ada seorang atau dua sahaja lagi dalam bilik tersebut.

Kesan lebih serius ialah bukankah lebih berbahaya kedudukan pemberi maklumat tersebut jika kedudukan mereka tidak diumumkan kepada umum tetapi diketahui oleh kumpulan "jahat."?

Seterusnya, keengganan Anwar memberi sebahagian lagi rakaman video tersebut juga menimbulkan tanda tanya. Apakah yang mahu disembunyikan oleh Anwar atau apakah benar wujud sebahagian lagi video tersebut?

Ini kerana sejarah jelas menunjukkan beberapa kenyataan Anwar sebelum ini kononnya beliau mempunyai berkotak-kotak rahsia korupsi kerajaan tidak langsung terbukti sehingga hari ini.

Apabila dari satu majlis ke satu majlis dijanjikan akan didedahkan berkotak-kotak isu rasuah tersebut, maka tamailah orang turun mendengar ceramah beliau dan keadilan untuk mendapat maklumat terbaru.

Kelihatan kali ini juga taktik yang sama digunakan. Dengan mendakwa ada sebahagian lagi rakaman akan dikeluarkan bila diperlukan, Anwar mengumpan orang ramai menghadiri ceramah beliau.

Sehingga tulisan ini disiapkan tidak kurang dua tempat telah dijanjikan oleh Anwar untuk mendedahkan ke bahagian kedua. Salah satunya ialah di Ceruk To'kun, namun kedua-duanya tidak berlaku. Gimik ini dilakukan untuk menarik pendengar ceramah.

Sejak timbul isu video ini ceramah Anwar juga sudah giat dijalankan kembali. Malah tabung kempen juga sudah ligat berlegar. Orang ramai pula akan terus mengerumuni ceramah Anwar untuk menunggu pendedahan bahagian keduanya.

Soalnya mampukah Anwar terus bergantung kepada isu ini untuk terus relevan dalam arena politik negara?

Lebih penting inilah wajah Anwar sejak dahulu sehingga sekarang. Kepentingan politik peribadinya lebih penting dari mencari kebenaran mahu pun keadilan.