Friday, June 22, 2007

APCET II: Dulu Anwar Dapat Nama, Sekarang Mahathir Yang Salah

Melihat kenyataan dan pengakuan Saifuddin Nasution dalam perbicaraan saman penganjur APCET II ke atas kerajaan Malaysia bernilai ratusan juta ringgit hanya sama seperti melihat putar belit Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Saman kumpulan APCET II ini bergantung sepenuhnya kepada kenyataan Saifuddin Nasution yang mendakwa Dr. Mahathir melalui Timbalan Menteri Dalam Negeri ketika itu, Megat Junid Megat Ayub, telah mengarahkan Pemuda UMNO menghalang majlis tersebut.

Apakah peristiwa APCET II?

Pada 9 November 1996, satu Persidangan Asia Pasifik Mengenai Timor Timur ke -2 (Apcet II), telah diadakan bagi mempromosi kemerdekaan Timor Timur dari Indonesia. Persidangan ini khabarnya ditaja oleh kerajaan Portugal dan beberapa pertubuhan Kristian.

Kerajaan Malaysia jelas tidak bersetuju dengan persidangan ini kerana ia membabitkan masalah dalaman Indonesia dan juga membabitkan sensitiviti agama. Namun kerajaan tidak boleh berbuat apa-apa kerana ia merupakan persidangan dalam tempat tertutup yang tidak memerlukan permit polis dan tiada pelanggaran undang-undang.

Bantahan dari pelbagai parti politik dan NGO sudah pun disuarakan. Namun penganjur nekad meneruskannya.

Pada hari tersebut, Pemuda UMNO dengan diketuai oleh Saifuddin Nasution, Abdul Rahim Ghouse dan sebilangan EXCO Pemuda UMNO dan pemimpin NGO mengetuai Barisan Bertindak Rakyat Malaysia (BBRM) menyerbu persidangan tersebut bagi mencetuskan suasana tidak tenang.

Perlaku pertelingkahan antara kumpulan ini dengan peserta APCET II.

Ini menyebabkan Polis mengambil keputusan menyuraikan perhimpunan tersebut. Lebih 100 orang dari kedua-dua kumpulan ditangkap.

Dulu Anwar Ibrahim, Sekarang Salah Dr. Mahathir

Selepas itu bukan sahaja Saifuddin Nasution dan rakan-rakannya mendapat nama, malah Anwar Ibrahim turut meraih populariti di kalangan orang Melayu dan Islam. Dalam banyak ceramah-ceramah Biro Tata Negara dan pertemuan dengan pelajar IPT, isu ini diuar-uarkan sebagai "kerja" Anwar. Ini untuk menonjolkan imej Anwar sebagai pejuang Islam, hero orang Melayu dan memberi hubungan baik Anwar dengan pemimpin Indonesia.

Namun beberapa tahun selepas itu, Anwar dipecat. Timor Timur telah pun merdeka. Indonesia sudah tidak peduli lagi isu Timor Timur. Anwar pula mahu merapati kedudukan dengan rakan-rakan pembangkang dalam DAP dan Parti Rakyat Malaysia (sekarang sudah bergabung), maka isu ini terus diungkit.

Untuk menyelamatkan Anwar maka Saifuddin pun membuat kenyataan bahawa Dr. Mahathir (melalui Megat Junid) yang meyuruh mereka menghalang APCET II.

Soalan untuk Saifuddin: Mengapa dulu Anwar mendapat nama dan sekarang Dr. Mahathir yang salah?

Realiti Sebenar

Apa yang Saifuddin Nasution cakap hanya berupa kenyataan beliau. Namun realitinya, pada masa tersebut tiada siapa boleh mengarahkan Pemuda UMNO Malaysia melakukan apa-apa tanpa restu Anwar Ibrahim. Malah lebih tepat lagi, orang seperti Zahid Hamidi, Saifuddin dan Rahim Ghouse tidak mungkin bergerak walau seinci jika bukan arahan atau restu Anwar Ibrahim.

Lihat sahaja di mana kesetiaan Zahid Hamidi dalam Perhimpunan Agung UMNO 1997 dan 1998. Lihat sahaja di mana Saifuddin Nasution apabila Anwar dipecat. Bagaimanakah Zahid, Saifuddin dan Rahim Ghouse naik jika bukan dengan naungan Anwar Ibrahim?

Justeru hari ini, apabila Saifuddin mendakwa Megat Junid boleh mengarahkan Pemuda UMNO zaman Zahid melakukan sesuatu tindakan seperti menghalang APCET II ia tidak lebih jenaka politik kepada mereka yang memahami sepak terajang politik UMNO.

Jika benar pun Megat Junid mengarahkannya, ia tidak mungkin berjaya tanpa restu dan sokongan Timbalan Presiden UMNO ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kita lihat pula apa pandangan Datuk Ahmad Nazri Abdullah, proksi Anwar di Berita Harian, ketika itu,

"SUDAH dua puluh tahun isu Timor-Timur cuba ditonjolkan oleh media dan badan bukan kerajaan (NGO) Barat, tetapi kenapakah baru minggu lalu NGO Malaysia terpanggil untuk mengadakan persidangan mengenainya? Mengapakah selepas Jawatankuasa Hadiah Keamanan Nobel (Nobel Peace Prize) di Norway menganugerahkan hadiah keamanan itu kepada Jose Ramos-Horta dan Paderi Katolik, Carlos Filipe Ximenes Belo, yang mewakili pejuang pemisahan Fretilin, baru NGO Malaysia sibuk-sibuk mengadakan Persidangan Asia-Pasifik Mengenai Timor-Timur (APCET 11)?

Tidak siapapun yang Tiada siapapun yang mempertikaikan kenapakah Hadiah Keamanan Nobel yang pernah dianugerahkan kepada tokoh-tokoh keamanan seperti Nelson Mandela-F W de Klerk dan Yasser Arafat-Yitzhak Rabin, dianugerahkan kepada dua orang yang berjuang untuk memerdekakan Timor-Timur daripada Indonesia? Sepatutnya hadiah yang diwujudkan khusus untuk mereka yang berjuang untuk keamanan dianugerahkan kepada Presiden Fidel Ramos dan Nur Misuari kerana kejayaan mereka mencipta keamanan untuk Mindanao."

(A. Nazri Abdullah, Timor Timur Hak Indonesia, Berita Harian: 17/11/1996)


Nazri Abdullah diketahui umum hanya menulis sesuatu isu membabitkan polisi negara jika ia menerima isyarat jelas dari Anwar Ibrahim.

Manakala seorang lagi pengarang yang dilihat rapat dengan Dr. Mahathir, A. Kadir Jasin menulis komentar berjudul "Apcet riot: An insult to civil society" (17 November 1996, NST),

"Most people would agree that the Government had done all it could to discourage the conference from being held out of concern for the deep friendship between Malaysia and Indonesia.

Personally, I do not believe that the Indonesian Government would forsake that special relationship merely because the conference was held in Malaysia. It is an insult to Indonesia to assume that it is so intolerant that it will interfere with the right of Malaysians to hold the assembly.

But as it turned out, it was a minority of our own people who were not only intolerant but were also not aversed to using force to stop the conference.

No matter who they were and what interests they claimed to represent, their action did nothing to salvage our country's good name. On the contrary, it legitimised the criticisms and condemnation that the foreign Press and non-governmental organisations had been directing at us in respect of the conference.

If the conference organisers were condemned for their disobedience, the 600-odd protesters successfully demolished whatever legitimacy they hoped to claim when some of them became abusive and violent."


Sungguh pun jelas ketika itu Dr. Mahathir tidak bersetuju dengan APCET II diadakan di Malaysia, namun untuk menyatakan Anwar tidak terbabit dengan peristiwa kekecohan tersebut hanyalah satu usaha menipu sejarah.

Sejarah sejak dahulu hingga kini membuktikan bahawa Dr. Mahathir tidak pernah mengatur sebarang tindakan aggresif fizikal hanya untuk mempertahankan pandangannya. Sebaliknya Anwar sudah banyak kali terbukti merancang pertembungan fizikal bagi memastikan matlamat politiknya dicapai.

Thursday, June 7, 2007

Anwarisme (3): Dua Sahabat Bertarung, Menang Jadi Arang, Kalah Jadi Abu

Oleh AJAB

Dalam kerjaya politiknya dalam UMNO, Anwar amat mengelak tiga orang sahabat baik beliau suatu ketika dahulu, iaitu Sanusi Junid, Ibrahim Ali dan Ustaz Osman Bakar (dari Kampung Gajah).

Beliau menjauhi tiga orang ini kerana mereka tidak pernah takut menyuarakan kritikan berdepan terhadap beliau. Anwar tidak dapat menerima kritikan terbuka ke atas beliau. Kritikan-kritikan yang ditujukan kepadanya biar pun beliau sambut secara manis muka di hadapan khalayak, namun beliau akan pastikan pengkritik menerima akibatnya dibelakang.

Ini gaya Anwar. Politik bermuka-muka. Musuh tidak terasa bila "dibunuh." Anwar lebih cerdik dari Dr. Mahathir. Dr. Mahathir selalu bermasalah dengan populariti kerana beliau bercakap apa sahaja yang beliau rasakan perlu secara berdepan.

Hubungan Awal Anwar - Sanusi Junid

Anwar juga memastikan orang seperti Sanusi Junid dan Ibrahim Ali mati secara perlahan-lahan dalam politik.

Dua orang ini merupakan antara golongan terawal mengenali Anwar. Ketika Ibrahim kurang digemari oleh Anwar kerana bersikap berterus terang, Sanusi dilihat Anwar lebih berbahaya.

Sanusi dilihat merbahaya oleh Anwar kerana beliau merupakan seorang yang "bersih", pintar, penyokong kuat Dr. Mahathir dan mengenali Anwar. Boleh dikatakan Sanusi merupakan mentor Anwar suatu ketika dahulu sama ada di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) mahu pun ketika di Universiti Malaya.

Hubungan awal Sanusi dan Anwar bermula di Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK). Sanusi pernah menyelamatkan Anwar daripada menjadi "mangsa" segelintir pelajar senior yang rakus dan tidak bermoral ketika itu.

[Terdapat riwayat yang mengatakan keluarga Anwar dan Sanusi juga sudah lama bersahabat sejak sebelum kedua mereka terjun ke dalam bidang politik lagi.]

Pada ketika itu Sanusi merupakan Setiausaha Badan Agama (kemudiannya ditukar nama kepada Badan Revolusi Ugama - BRU) yang dinaungi oleh Ustaz Ghazali (Allahyarham). Kemudiannya, kepimpinan BRU diwarisi oleh Ungku Mohsien dengan Anwar telah dilatih oleh Sanusi sebagai pemimpin generasi ketiga kemudiannya.

Hubungan Sanusi-Anwar berterusan bila Anwar masuk ke Universiti Malaya dan Sanusi sudah menjadi eksekutif sebuah bank. Sanusi bukan sahaja memberi banyak tajaan dan bantuan kewangan kepada Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Islam Malasia (PKPIM), malah kemudiannya turut membantu sekolah Yayasan Anda (yang diterajui oleh Anwar dan rakan-rakan) serta sebuah syarikat percetakan milik Anwar dan David.

Dengan kata lain, serba sedikit hidup dan survival kepimpinan Anwar ketika itu dibantu oleh Sanusi bin Junid.

Anwar - Sanusi Di Dalam UMNO

Apabila di dalam Pemuda UMNO, Sanusi juga antara yang menggerakkan jentera membantu Anwar menang jawatan Ketua Pemuda UMNO ketika menetang Datuk Suhaimi Kamaruddin.

Sanusi (dan juga Daim Zainuddin) merupakan penyokong kuat Anwar yang memberi ruang dan peluang kepadanya mendaki tangga demi tangga dalam UMNO. Sanusi melalui rangakain politiknya, manakala Daim melalui kekuatan kewangannya ketika itu dilihat menjadi faktor "force" keluasan pengaruh Anwar dalam UMNO.

Dengan bantuan Sanusi dan Daim (serta restu Mahathir), Anwar seumpama mendapat red carpet dalam mendaki kedudukan sehingga ke jawatan Naib Presiden UMNO.

Namun bermula di sini, Sanusi mula melihat kegelojohan Anwar sehingga mengecilkan hati ramai pemimpin UMNO lain. Bagi Sanusi ini tidak sihat kepada UMNO.

Dua Rakan Akhirnya Berperang

Namun rakan bila bersama di dalam politik tidak semestinya akan kekal karib.

Ketika hampir sebahagian besar Menteri Kabinet UMNO dan Menteri Besar berjaya di kawal oleh Anwar, Sanusi Junid antara yang tidak. Anwar sedaya upaya cuba menarik Sanusi ke dalam kumpulannya. Anwar tidak mungkin boleh mengawal Sanusi kerana Sanusilah antara yang mencipta pengaruh Anwar dalam UMNO di peringkat awal.

Anwar cuba menjadikan Sanusi sebahagian pasukan Wawasan. Namun Sanusi menolak. Sanusi tetap Sanusi. Beliau boleh mencipta sepuluh kawan esok dan sepuluh musuh dalam masa yang sama kerana prinsipnya.

Apabila semua jentera digunakan Anwar untuk menentang Ghafar, Sanusi secara terbuka mengisytiharkan menyokong Ghafar. Akibatnya, bukan sahaja Ghafar kalah, Sanusi dan Abdullah Ahmad Badawi juga kalah.

Anwar mengisytiharkan tiada perpecahan dan sebarang terkilan hati dalam pertandingan tersebut. Namun, selepas itu Anwar mula merangka untuk menjatuhkan Sanusi.

Dua tahun kemudiannya Dr. Mahathir mengejutkan Anwar apabila meletak Sanusi Junid sebagai calon Dewan Undangan Negeri Kawasan Kuah. Keadaan ini menimbulkan desas-desus hebat selepas Pilihan Raya UMUM 1995, Sanusi akan dilantik menjadi Menteri Besar Kedah yang baru menggantikan Tan Sri Osman Aroff.

Bagaimanapun sebaik tamat pilihan raya umum 1995, Osman Aroff masih kekal sebagai Menteri Besar Kedah. Namun Anwar menyedari bahawa Dr. Mahathir tidak mungkin meletak Sanusi bertanding sebagai ADUN kecuali menyerahkan jawatan Menteri Besar Kedah kemudiannya.

Mencaturkan Politik Kedah

Langkah pertama Anwar ialah meyakinkan Osman Aroff supaya jangan melantik Sanusi sebagai EXCO negeri Kedah.

Berlakulah jenaka ketika itu bila Osman Aroff cuba "bersilat lidah." Osman mendakwa beliau telah menghantar surat jemputan perlantikan EXCO kepada Sanusi tetapi tiada jawapan. Manakala Sanusi pula mendakwa beliau tidak menerima sebarang surat.

Jika benar Osman mahu melantik Sanusi ketika itu tentulah beliau boleh menghubungi Sanusi melalui telefon sahaja. Namun ia tidak berlaku. Osman berani kerana menyedari Anwar dibelakangnya.

Langkah Kedua Anwar ialah memastikan imej Sanusi terus tercemar di tempat sendiri.

Dengan tidak melantik Sanusi sebagai EXCO maka kedudukan Sanusi di peringkat Bahagian sudah tergugat. Penangguhan perlantikan Sanusi sebagai Menteri Besar ketika itu dan tibanya Pemilihan UMNO Bahagian terlebih dahulu memberi peluang besar kepada Anwar.

Pada pemilihan UMNO Bahagian Langkawi 1996, "rookie" Bakar Taib (Ahli Parlimen Langkawi dan Setiausaha Parlimen) menumpaskan Sanusi Junid - ADUN Kuah, Ketua Bahagian, bekas Naib Presiden UMNO, bekas Setiausaha Agung UMNO, dan bekas Menteri Pertanian.

Kekalahan ini bukan mudah. Ia memerlukan perancangan bijak kumpulan Anwar dan pembahagian "kek" Kementerian Kewangan ketika itu.

Selain itu, dikatakan wang sebanyak RM 1 juta telah digunakan untuk memastikan Datuk Bakar Taib menewaskan Sanusi dalam pemilihan UMNO Bahagian Langkawi. (Tidak dipastikan sama ada wang tersebut berupa sogokan atau digunakan sebagai pembayaran jentera kempen.)

Tumpaslah Sanusi. Akhbar-akhbar di bawah pengaruh Anwar - Utusan dan Berita Harian- mula memainkan cerita-serita bahawa kerjaya politik Sanusi sudah tamat.

Namun tumpasnya Sanusi tidak menghalang cakap-cakap penukaran MB Kedah sepenuhnya. Biar pun ramai pemerhati politik melihat masa depan Sanusi sudah tamat, namun Dr. Mahathir menyedari agenda untuk "membunuh" Sanusi ini.

Dr. Mahathir tidak mungkin mengundurkan perancangannya sekadar rintangan tersebut. Beliau memanggil Osman Aroff dan mengarahkan supaya meletak jawatan.

Anwar panik dengan berita ini tetapi berjaya mengumpulkan beberapa ADUN Kedah yang berpengaruh. Mereka dijanjikan jawatan MB dengan syarat boleh mengumpulkan kesemua ADUN Kedah dan membuat kenyataan membantah perlantikan Sanusi sebagai Menteri Besar.

22 anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) tiba-tiba mengadakan persidangan akhbar mengumumkan pendirian mereka menolak Sanusi sebagai calon Menteri Besar. Anggota Dewan Undangan Negeri itu meminta Perdana Menteri mengekalkan Osman sebagai
Menteri Besar.

Dr Mahathir menyifatkan tindakan mereka melanggar tradisi parti. Osman pula menafikan beliau di belakang 22 Adun itu. Anggota Dewan Negeri itu kemudiannya memohon maaf kepada Perdana Menteri kerana membuat pengumuman mengenai perkara itu. Tetapi, mereka masih menolak Sanusi.

Namun secara senyap sebahagian besar 22 ADUN tersebut sudah berubah nada bila mengetahui janji Anwar kepada beberapa orang EXCO Kanan UMNO untuk dilantik menjadi MB. Perpecahan dalam senyap kumpulan ini berlaku.

Sebahagian lagi yang terperangkap dalam sidang akhbar yang diadakan tanpa mengetahui tujuan sebenar kemudiannya membuat pengakuan sulit memberi mandat kepada Perdana Menteri untuk menyelesaikan perkara itu.

Strategi Anwar gagal. Gagal bukan bermakna berakhirnya usaha membunuh politik Sanusi.

Antara 1996 - 1998, Sanusi menerima laporan yang cukup negatif dan provokasi dari Utusan Malaysia yang dipimpin oleh Johan Jaaffar ketika itu. (Johan Jaafar diketahui umum sebagai calon payung terjun Anwar dibawa masuk ke Utusan Malaysia dan ini kita akan bincang dalam episod lain).

Sehinggakan ketika itu terdapat jenaka di kalangan pemimpin UMNO bahawa Kedah sedang diperintah oleh PAS.

Oleh kerana Sanusi tidak mempunyai rekod korup atau moral yang meragukan maka Anwar tidak mempunyai sebarang isu peribadi.

Kelemahan Sanusi Diperguna Anwar

Namun Sanusi mempunyai beberapa kelemahan. Antaranya beliau suka memikirkan isu-isu futuristik dan di luar jangkauan khalayaknya. Beliau suka membaca dan kadang-kadang mendapat idea lawak yang dipraktikkan tanpa memikirkan pandangan masyarakat setempat. Akibatnya, Utusan menggunakan idea-idea Sanusi seperti tanam padi atas bumbung, pertandingan mencabut uban dan Liga Bola Sepak Kampung dengan hadiah lembu untuk menunjukkan Sanusi tidak mempunyai idea pembangunan yang berjaya.

Projek-projek utama Kedah di bawah Sanusi seperti tambakan laut, pembangunan Masjid sebagai pusat ilmu, penubuhan beberapa kolej pengajian seperti Insaniah, Projek Kulim Hi Tech Park, penumpuan kepada Industri Kecil dan Sederhana (IKS), dikecilkan atau ditutupkan.

Kelemahan kedua Sanusi ialah beliau tidak boleh bekerja dengan orang yang lembab, malas berfikir dan kurang membaca. Akibatnya beliau berkelahi dengan hampir separuh pegawai tadbir kanan negeri Kedah.

Dalam sebahagian besar isu Sanusi memang betul. Namun dalam politik, ahli politik tidak semestinya selalu menunjukkan beliau betul apatah lagi di kalangan penggerak utama pentadbiran negeri.

Namun politik Sanusi tidak mudah mati. Semuanya kerana beliau tidak mempunyai sebarang isu salah guna kuasa, kewangan dan moral yang boleh Anwar gunakan ke atasnya. Dengan kata lain, moral dan integeriti Sanusi cukup tinggi tanpa perlu beliau ke hulu ke hilir bercakap soal Islam.

Kemarahan Anwar terhadap Sanusi bertambah bila pada JUN 1998, Sanusi mendedahkan kepada Majlis Tertinggi UMNO nama seorang pemimpin UMNO (berserta fakta dan saksi) yang menghasut pemimpin tertinggi parti komponen BN bahawa:

1. Majoriti Ketua Bahagian tidak sokong Presiden UMNO

2. 30 orang ahli Parlimen UMNO akan berjumpa Dr. Mahathir dan akan meminta supaya beliau meletak jawatan. (Malangnya perjumpaan yang berlaku bukan untuk meletak jawatan seperti yang disebarkan oleh pemimpin UMNO tersebut.)

3. Seorang pemimpin UMNO memburukkan nama Dr. Mahathir kepada pemimpin parti komponen dengan pelbagai cerita yang menyatakan Dr. Mahathir tidak suka Presiden parti itu dan parti ini.

Pemimpin UMNO ini sungguhpun diketahui "orang Anwar" namun tiada bukti mendakwa Anwar terbabit. Sebaliknya Anwar sendiri menafikan tahu hal ehwal gerakan ini. Malah dikatakan Anwar sendiri memarahi pemimpin tersebut di depan Dr. Mahathir.

Dalam Perhimpunan Agung UMNO tahun tersebut sekali lagi Sanusi membangkitkan isu ini dengan mengatakan ada orang mahu melagakan Anwar dengan Dr. Mahathir.

Dalam perhimpunan tersebut juga Sanusi memaklumkan kepada perhimpunan bahawa Anwar bertanya kepada beliau mengenai Buku 50 Dalil. Sanusi menyatakan kepada Perhimpunan Agung UMNO 1998,

"Sebenarnya saya tidak payah tulis buku dan tak payah suruh orang tulis. Jika saya mahu kata, saya akan kata berdepan atau berhadap dalam majlis."

"Tapi si penulis, telah menulis dari Pulau Lagenda. Pulau Lagenda itu pulau saya. Saya beritahu Saudara Anwar bahawa di belakang buku itu bukan saya."

"Dia kata dia dah tahu siapa buat. kalau dah tahu tak apalah. Pendeknya dia tidak kata terhadap saya."

Beberapa minggu kemudian, Anwar sudah menjadi sejarah apabila dipecat dari jawatan Timbalan perdana Menter, Menteri Kewangan dan Timbalan Presiden UMNO.

Sanusi pula muncul sebagai antara musuh utama penyokong Anwar.

Menang Jadi Arang, Kalah Jadi Abu

Hasrat Anwar untuk "membunuh Sanusi" tidak tercapai kerana beliau sendiri tumbang terlebih dahulu pada 1998.

Anwar menuduh Sanusilah antara konspirator terbesar kejatuhannya selain Aziz Shamsuddin.

Namun Sanusi tumbang juga akhirnya. Kemenangan tipis BN Kedah menang pada 1999 menyebabkan timbul desakan supaya Sanusi berundur.

Sanusi sedar beliau harus menjadi kambing hitam bagi mengawal kemusnahan yang lebih besar. Sanusi melepaskan jawatan Menteri Besar Kedah.

Dalam masa yang sama Anwar didapati bersalah atas tuduhan rasuah dan salah guna kuasa (Mengarahkan Pegawai Cawangan Khas atas kepentingan peribadi) serta menunggu perbicaraan liwat.

Pertarungan dua rakan ini sungguh hebat sehingga akhirnya yang menang jadi arang, yang kalah jadi abu. Sanusi hilang jawatan, anwar menerima hukuman penjara.

Sanusi menjadi arang dan tidak mungkin melakukan comeback lagi.

Tapi Anwar menjadi abu. Mampukah Anwar bangkit dari abu menjadi gagah semula? Hanya masa menentukan.

Wednesday, June 6, 2007

Notis

Atas sebab tidak dapat dielakkan, artikel terbaru anwarisme hanya akan terbit pada khamis ini. Harap Maaf.

Monday, June 4, 2007

Anwarisme (2): Anwar Tamatkan Riwayat Politik "Bapa"

-
Oleh AJAB (Anwarisme@hotmail.com)

Nama seperti Ghafar Baba, Sanusi Junid dan Ibrahim Ali pernah akrab dengan Anwar tetapi akhirnya menjadi musuh politik beliau di dalam UMNO. Anwar bukan sahaja tidak percaya sekutu politik tetapi juga kawan yang berada dalam satu parti politik.

Memang benar politik serba mungkin. Jika tidak mana mungkin Saad Man (Setiausaha Politik Dr. Mahathir) mensabotaj borang pencalonan Dr. M pada 1999. Dan Tidak perlu kita menyalahkan Anwar dalam hal ini. Tindakan beliau "membunuh" karier politik Ghafar Baba dan Sanusi Junid sekadar membuktikan bahawa beliau seorang pemimpin muda yang hebat.

Encik Abdul Ghafar Baba

Encik Abdul Ghafar Baba merupakan bekas seorang guru bukanlah anak kecil dalam politik. Beliau terbabit dalam banyak misi penting UMNO dan Kerajaan. Apabila Musa Hitam berhenti menjadi Timbalan perdana Menteri. En Ghafar Baba dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri. Beliau kemudiannya menang jawatan Timbalan presiden UMNO pada 1987.

Beberapa bulan sebelum Pemilihan Agung UMNO 1993, Anwar Ibrahim membuat kenyataan bahawa beliau tidak akan mencabar En. Abdul Ghafar Baba, Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri ketika itu.

"Beliau Seperti Bapa Kepada Saya." Demikian Anwar merumuskan hubungan beliau dengan Ghafar Baba sewaktu membuat pengumuman untuk tidak mencabar Ghafar bagi jawatan Timbalan Presiden UMNO pada 1993.

Limpahan Kurniaan Anwar

Namun, dalam masa yang sama Anwar telah pun mengumpul pasukan di setiap negeri. Di Kedah misalnya, hampir setiap Ketua Bahagian dipanggil berjumpa Anwar secara sulit. 90% Ketua Bahagian di Kedah ketika itu menerima imbuhan yang amat besar dari Anwar serta janji akan dilantik Menjadi Menteri Besar jika mereka mencalonkan beliau sebagai Timbalan Presiden UMNO.

Terdapat segelintir yang menolak tawaran dan imbuhan Anwar seperti Datuk Wan Azmi (EXCO Kanan Kedah ketika itu) kemudiannya "dilanyak" Anwar secukupnya selepas beliau menang jawatan Timbalan Presiden UMNO. Wan Azmi hilang jawatan EXCO. Anwar juga menggunakan segala jentera dan kekuatan pengaruhnya untuk memastikan Hamid Othman menang Ketua Bahagian Sik kemudiannya.

Manakala Sanusi Junid yang terang-terangan menyokong Ghafar Baba, diberi pengajaran secukupnya kemudian.

Di Sabah juga hampir keseluruhan Ketua Bahagian mendapat imbuhan bernilai jutaan ringgit dan janji untuk mendapat jawatan Menteri dan Ketua Menteri.

Hakikatnya, Anwar berjanji kepada hampir sebahagian besar Ketua Bahagian untuk dijadikan Menteri Besar, Ketua Menteri dan Menteri. Mereka diingatkan supaya jangan memberitahu orang lain atau peluang mereka akan terjejas. Hampir tiada sesiapa yang tahu bahawa kesemua mereka dijanjikan jawatan yang sama dan tidak mungkin Anwar mampu menunaikannya.

Pada masa ini juga "pink-form" Kementerian Kewangan berteraburan dari Ketua Bahagian, EXCO Pemuda UMNO Negeri-Negeri sehinggalah kepada Ketua Pemuda, Wanita dan AJK UMNO Bahagian. Semuanya menerima durian runtuh. Hampir sebahagian besar mereka tiba-tiba menjadi orang kaya segera dan pemain saham BSKL.

Membunuh "Bapa"

Manakala Ghafar Baba yang ketika itu percaya kepada Anwar bin Ibrahim, tokoh muda pejuang Islam sejak zaman pelajar sehingga ke dalam UMNO, berasa senang dan tidak membuat apa-apa yang perlu bagi mempertahankan jawatannya.

Setelah yakin beliau akan mendapat sokongan yang mencukupi untuk menang, jentera Anwar mula bercakap-cakap mengenai kekurangan Ghafar.

Antara lain Ghafar dikatakan tidak boleh bercakap bahasa Inggeris, pendidikan yang tidak tinggi dan UMNO perlu barisan pelapis yang kuat dan muda.

Apabila Mesyuarat UMNO Bahagian bermula, banyak bahagian-bahagian mula mencalonkan Anwar Ibrahim. Ghafar Baba terkejut besar walaupun masih yakin bahawa Anwar akan menolak pencalonan tersebut.

Malangnya Anwar bukan sahaja tidak menolak, malah menggunakan Mat Taib, Rahim Tamby Chik dan Muhyiddin Yassin supaya membuat kenyataan mendesak Anwar bertanding sebagai menghormati kehendak akar umnbi UMNO (yang dicipta oleh Anwar sendiri).

Ketika Ghafar sedar bahawa Anwar sendiri di sebalik perancangan tersebut, segalanya sudah terlambat. Akhirnya Anwar Ibrahim mendapat lebih kurang 143 pencalonan daripada 153 Bahagian ketika itu. Selebihnya milik Ghafar Baba.

Ghafar, Ketua Perhubungan UMNO Sabah tapi hanya mampu mendapat lebih kurang 7-8 bahagian dari seluruh negara ketika itu. Di Sabah sendiri hanya bahagian Tun Mustapa yang mencalonkan beliau.

Ghafar kemudiannya meletak jawatan sebagai Ketua Perhubungan UMNO Sabah, Timbalan Perdana Menteri dan juga menarik diri dari pertandingan Timbalan Presiden UMNO pada Oktober 1993.

Akhirnya Anwar menamatkan riwayat hidup politik seorang yang beliau anggap seperti bapa sendiri.

Kekuatan Anwar ialah beliau berupaya meyakinkan orang lain dengan apa yang beliau katakan disamping menyembunyikan perancangan sebenar.

---------------
Rabu ini:
Anwarisme 3: Pertarungan Dua Sahabat, Menang Jadi Arang, Kalah Jadi Abu

Sunday, June 3, 2007

Anwarisme (1) Sekadar Catatan Bukan Kecaman

Oleh AJAB

Artikel Anwarisme 1 yang tersiar dalam Malaysia-Today.net mendapat kecaman ramai penyokong Anwar yang mempersoalkan agenda saya memburukan Anwar. Segelintir lagi pula mempersoalkan apakah pemimpin UMNO lain baik dan bersih. Jika dibaca dengan teliti artikel tersebut saya tidak pun membuat penghakiman bahawa Anwar lebih buruk atau lebih baik berbanding pemimpin UMNO lain.

Anwarisme 1 sekadar menunjukkan perjalanan dan falsafah politik Anwar bin Ibrahim yang diagungkan oleh sebahagian pengikut beliau sebagai pemimpin politik Islam nombor wahid di Malaysia.Demikian juga dalam bahagian dua Isnin ini.

Pembaca bebas mentafsir dan membuat kesimpulan sendiri mengenai manusia politik bernama Anwar Ibrahim.