Sunday, May 27, 2007

Pemilihan PKR: Anwar Mencipta Populariti

Lawak jenaka yang berlaku dalam pemilihan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) semalam mencerminkan bahawa parti tersebut bukanlah alternatif terbaik bagi menjadi pengganti Barisan Nasional.

Adalah sungguh aneh dan luar biasa bila proses pencalonan ditutup, tiga calon telah bersetuju untuk bertanding bagi jawatan Presiden. Lebih luar biasa ialah Wan Azizah akan ditentang oleh suaminya, Anwar Ibrahim dan bekas penyokong kuat Anwar, Abdul Rahman Othman.

Seperti biasa Anwar cuba bermain sandiwara memberi keyakinan kepada para penyokong PKR bahawa beliau sedia menghadapi apa jua risiko. Namun akhirnya Anwar tidak mungkin mengambil risiko yang boleh memperjudikan kedudukan beliau.

Memang benar Akta Pendaftaran Pertubuhan tidak membenarkan bekas banduan memegang jawatan dalam persatuan selama satu tempoh selepas bebas dari penjara.

Anwar mengetahui hal ini lebih awal lagi. Namun mengapa beliau mengambil keputusan untuk terus memberi harapan palsu kepada penyokongnya? Mengapa beliau sanggup berkonfrontasi dengan Abdul Rahman Othman hanya kerana ingin bertanding satu jawatan yang mustahil dapat beliau pegang secara sah?

Anwar bukan seorang pejuang berani mati. Anwar hanya seorang pejuang retorikal yang akan berapi-api ucapan beliau tapi hilang bila timbul sebarang konfrontasi terbuka. Di Baling pada tahun 70-an membuktikan sikap beliau. Beliau berucap berapi-api namun hilang dalam arus demontrasi besar-besaran pelajar. Dalam hal ini tentulah orang seperti Hishammudin Rais lebih jantan dari Anwar.

Pada 1998 juga Anwar menghasut penyokong beliau melakukan kekacauan, berarak ke PWTC dan Seri Perdana tetapi beliau pulang bersembunyi di rumah. Itulah Anwar, hero atas podium dan pentas.

Justeru, bagi mereka yang memahami sikap dan arah tuju politik beliau yang bersifat populariti, langkah Anwar menarik diri 11 jam sebelum pertandingan bukanlah satu isu luar biasa.

Keganjilan pemilihan Presiden PKR ini hanya diwujudkan sebagai serampang dua mata kepada Anwar dan PKR.

Pertamanya, Anwar hanya mahu menguji sejauh mana populariti beliau dalam parti setelah enam tahun merengkok dalam penjara. Anwar mahu menunjukkan kepada umum bahawa beliau masih berpengaruh.

Sebab itu, sebelum mengumumkan keputusan beliau menarik diri (sesuatu yang telah beliau tetapkan sejak awal lagi), beliau membuka ruang untuk perwakilan membahaskan isu pembabitan beliau dalam pertandingan jawatan Presiden PKR.

Seperti yang dijangka suara para perwakilan akan mendesak Anwar terus bertanding dan jangan takut melebihi suara rasional dalam parti. Ini tidak dapat dielakkan kerana PKR ditubuhkan atas emosi kepada Anwar bukannya landasan perjuangan politik rakyat sebenar.

Sebaik Anwar menarik diri, Abdul Rahman turut menarik diri. Satu lagi langkah yang sudah dirancang sejak awal. Malahan cadangan menjadikan Anwar sebagai de facto leader jelas mencerminkan perancangan awal dalam isu ini.

Keduanya, keganjilan ini dan segala hiruk pikuk pemilihan PKR kali ini sekadar untuk mengambalikan ingatan orang ramai terhadap PKR dan Anwar Ibrahim.

Media massa arus perdana memberi liputan yang begitu meluas dalam pemilihan PKR kali ini kononnya untuk menunjukkan perpecahan PKR. Hakikatnya ia telah dirancang lebih awal oleh Anwar hanya untuk meraih publisiti yang lebih baik untuk beliau dan PKR.

Bayangkan jika tiada segala keganjilan dalam pemilihan kali ini termasuk lakonan bersahaja Nalla Karupan tentulah media massa utama tidak akan memberi liputan besar kepada Anwar.

Hakikatnya, sungguhpun pemilihan PKR tampak ganjil dan lucu, namun Anwar sudah berjaya melaksanakan strategi beliau bagi memunculkan semula diri beliau dalam arus politik negara setelah sekian lama tampak lesu.

No comments: