Thursday, December 18, 2008

Anwar Berharap Tuah di Kuala Terengganu?

Seperti yang pernah ditulis dalam berpuluh artikel sebelum ini, Anwar Ibrahim mempunyai kemampuan dan kepakaran membujuk dan mempengaruhi pengundi dengan ucapannya. Yang turut terserlah ialah kebolehan Anwar bermuka-muka di kalangan pengundi pelbagai kaum.

Kuala Terengganu merupakan satu kawasan perbandaran yang majoritinya pengundi Melayu tetapi keputusannya banyak ditentukan oleh pengundi Cina di kawasan bandar. Hal ini berlaku kerana undi Melayu pecah hampir sama antara BN dan Pas. Justeru sekitar 8 ribu pengundi bukan Melayu dikatakan akan menjadi penentu keputusan pilihan raya kecil Kuala Terengganu kali ini.

Namun andaian ini tidak semudah yang dijangka buat Anwar. Orang Melayu yang menyokong Pas sungguhpun mahu menambah kerusi, mereka masih ragu-ragu mengenai keikhlasan Anwar dalam menjaga kepentingan Islam dan Melayu.

Penubuhan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor, Pulau Pinang dan Perak memberi gambaran bahawa Anwar gagal sama sekali menjaga kepentingan agama dan bangsa. Ketika orang Melayu dalam UMNO dan atas pagar dilihat akan mengukuhkan kedudukan UMNO, Melayu dalam Pas masih berbelah bagi. Manakala Melayu dalam PKR pasti akan terus menyokong Anwar (bukanya Pakatan Rakyat).

Sekarang ini terserah kepada pengikut Pas sama ada mahu menang sorak atau kepentingan agama dan bangsa tergadai atau mahu memberi satu amaran jelas kepada Anwar bahawa Pas belum bersedia mengkompromi dengan dasar-dasar Pakatan Rakyat di tiga negeri contoh tadi.

Anwar hampir pasti memainkan isu sekolah vernakular yang begitu sensitif di kalangan masyarakat Cina. Malahan kenyataan EXCO Pemuda UMNO Datuk Mukhriz Mahathir baru-baru ini pasti akan diputar belit dan dijadikan isu utama strategi kempen Anwar.

Namun beliau juga pasti tertanya-tanya apakah masyarakat Cina di Kuala Terengganu akan memberi sokongan padu kepadanya dalam isu ini? Sedangkan Anwar ketika menjadi menteri Pelajaran dan Timbalan Perdana Menteri turut mempunyai persepsi negatif terhadap sistem persekolahan jenis kebangsaan ini.

Anwar juga dalam dilema kerana maklumat yang beliau dapat sekarang ialah kaum Cina tidak akan memberi undi kepada Pakatan Rakyat kerana khuatir ia akan menjejaskan kestabilan politik negara dalam masa ekonomi dunia mengalami krisis memandangkan BN telah pun kehilangan majoriti 2/3.

Satu lagi pukulan kepada BN pasti akan menimbulkan satu lagi polemik politik dan krisis keyakinan pelabur terhadap kerajaan hari ini. Ini pasti tidak digemari oleh masyarakat peniaga Cina.

Sungguhpun BN hanya menang dengan majoriti 628 undi di Kuala Terengganu dalam pilihan raya lalu, namun keadaan pasca pilihan raya umum banyak memberi pengajaran kepada orang Melayu. Orang Melayu "non partisan" dan sebahagian di dalam Pas telah bersedia mengundi BN kali ini.

Soalnya mampukah BN mengambil kesempatan dan apakah percaturan Anwar semasa kempen pilihan raya nanti. Peluang Pakatan Rakyat dan Anwar bergantung kepada siapa calon BN.

BN mempunyai peluang cerah menambah majoriti jika meletakkan calon yang tepat dan kaum cina di Kuala Terengganu memberi sokongan seperti dalam pilihan raya lalu.