Thursday, September 25, 2008

Rakyat Perkara Kedua, Jawatan PM Keutamaan Anwar


In 2008 already over RM125 billion has been withdrawn from the country by investors weary of a government that has failed to implement a single reform to ensure judicial independence and that continues to use draconian laws such as the ISA to detain its citizens without due process of law." - Anwar Ibrahim


ISA telah wujud sejak berpuluh tahun. Namun mengapa baru hari ini pelabur bimbang dengan kerajaan. Apakah ia kerana ISA atau kerana Anwar Ibrahim?

Anwar sudah diketahui mempunyai hubungan rapat dengan US dan Barat. Ini menimbulkan tanda tanya di mana Anwar mendapat jumlah tersebut jika ia tidak terbabit dengan perancangan ini?

Kita juga tertanya-tanya apakah pengeluaran pelabur asing ini tidak ada kena mengena dengan membantu usaha Anwar menukar kerajaan?

Dalam sejarah politik, hanya ketika rakyat "lapar" sahaja maka pemerintahan akan berubah secara drastik dan luar biasa.Tidak mustahil inilah yang sedang direncanakan oleh Anwar dan para sahabatnya dari Barat.

Ini bukan kali pertama Anwar Ibrahim sanggup melakukan apa sahaja demi memastikan beliau akan berjaya menjadi Perdana Menteri. Sejarah politik Anwar membuktikan beliau sanggup menipu, berbohong dan membiar rakyat terseksa jika itu dapat membantunya menjadi Perdana Menteri.

1970-an

Pada tahun 1970-an beliau mengaturkan satu tunjuk perasaan di Baling sehingga mencetuskan rusuhan. Rusuhan terscetus kerana Anwar mendakwa petani di Baling terlalu miskin sehingga ada yang mati kelaparan. Maka berbondong-bondonglah mahasiswa mengadakan tunjuk perasaan di Universiti Malaya dan mogok lapar di Baling.

Huru-hara negara dan kerajaan dibuatnya. Namun sehingga kini tiada seorang saksi atau satu bukti pun menunjukkan ada orang di Baling ketika itu mati kelaparan.

1997

Pada 1997 sekali lagi Anwar mengambil kesempatan atas masalah ekonomi bagi mencetuskan kemarahan rakyat terhadap kerajaan terutamanya Perdana Menteri, tun Dr. Mahathir.

Ketika dilanda krisis matawang, Anwar menyerang polisi kerajaan dari dalam dengan menuduh Dr. Mahathir antara punca masalah ekonomi negara ketika itu. Anwar sedar rakyat yang susah dan marah akan bangkit dijalanan bagi menjatuhkan Perdana Menteri.

Jadi sebagai Menteri Kewangan beliau memulakan langkah-langkah menjerut rakyat. Kadar pinjaman Asas (BLR) dan kadar faedah dinaikkan berkali ganda. Beliau juga mengguna pakai pelbagai saranan IMF yang menyusahkan rakyat kerana ia telah berkesan ketika itu menjatuhkan Perdana Menteri Thailand dan Presiden Indonesia.

Anwar menghalang usaha membantu syarikat-syarikat bermasalah ketika itu akibat kejatuhan matawang negara. Beliau menggunakan mantera-mantera barat seperti kronisme, nepotisme dan bail-out boleh meruntuhkan ekonomi negara bagi menghalang sebarang usaha pemulihan syarikat-syarikat besar ini.

Tujuan Anwar ketika itu ialah mahu melihat syarikat-syarikat ini jatuh dan menyebabkan puluhan ribu rakyat hilang mata pencarian. Jika ini berlaku sudah tentu lagi ramai yang marah kepada kerajaan dan ini akan mempercepatkan proses perubahan kuasa dari Dr. Mahathir kepada beliau.

Demikian bagi Anwar, rakyat yang menderita ialah satu kebaikan kepadanya, kerana ini akan mempercepatkan kejatuhan musuh politiknya.

Anwar sanggup meletakkan negara ini di bawah telunjuk IMF asalkan beliau berjaya menjadi Perdana Menteri. Nasib baik Dr. Mahathir ketika itu cepat sedar permainan licik Anwar.

Justeru jika hari ini pelaburan asing makin berkurangan dan ramai yang keluar, adalah tidak mustahil ini merupakan rancangan kali kedua US untuk menjadikan Anwar sebagai PM setelah gagal pada 1997.

Siapakah Anwar yang begitu istimewa kepada US dan Barat akan terus menjadi tanda tanya.

Cuma yang kita pasti, Anwar akan melakukan apa sahaja untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia hatta jika perlu "mengorbankan" sebahagian rakyat pun.

Sunday, September 21, 2008

Pesona Sesumpah II: Anwar atau Penyokongnya Yang Kurang Waras?



Minggu lalu saya menulis bahawa janji membentuk kerajaan baru oleh Datuk seri Anwar sebagai janji tidak masuk akal. saya juga menulis, "Tunggulah 16 September untuk anda mendengar pelbagai pula alasan Anwar Ibrahim. Sesumpah selalu bertukar warna kulit."

- Hari ini terbukti dan ternyata ia berlaku. Sesumpah atau Pokka bernama Anwar ini menukar lagi wajah, rupa dan qona (warna)nya.

- Sudah sah Anwar pembohong. Janji untuk membentuk kerajaan pada 16 September 2008 hanya tinggal dalam lipatan sejarah berkajang-kajang senarai pembohongan Anwar bin Ibrahim.

- Pada 16 September beliau menghantar surat kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk mengadakan pertemuan dan mengaturkan peralihan kuasa kepada beliau. Apakah ini tindakan orang yang waras?

- Beliau dakwa ada lebih 30 orang ahli Parlimen BN tetapi enggan mengumumkan nama mereka. Waraskah manusia bernama Anwar Ibrahim ini? Beliau mahu Pak Lah menyerah kuasa hanya kerana beliau dakwa ada 30 orang ahli Parlimen BN menyertai Pakatan Rakyat?

- Hari ini beliau mendesak kerajaan mengadakan sidang khas Parlimen pada 23 September pula. Beliau mahu mengadakan undi tidak percaya terhadap kerajaan. Sekali lagi kita mahu bertanya, waraskah manusia bernama Anwar ini?

- Atas sebab apa dan bukti apa beliau mahu mengadakan sidang khas Parlimen? Undang-undang dan Peraturan Dewan Rakyat yang mana beliau gunakan untuk mengadakan satu usul khas sidang parlimen bagi mengadakan undi tidak percaya terhadap PM dalam tempoh kurang dari 14 hari?

- Ketika beliau mendakwa telah ada 30-40 orang ahli parlimen BN yang akan melompat, Anwar tetap menghantar pemimpin PKR untuk bertemu dan memujuk ahli Parlimen BN yang berada di taiwan. soalnya jika sudah ada mengapa perlu pujuk yang lain lagi? Bukankah gila namanya?

- Namun Anwar Ibrahim memang mempesonakan. Lebih mempesonakan, ada orang masih percaya kepada Anwar walaupun sudah banyak kali tertipu.

- Misalnya terdapat sebahagian pemimpin Pas masih percaya kata-kata Anwar walaupun mereka sendiri tidak tahu siapa yang berjanji untuk melompat. Mereka sanggup membohongi penyokong sendiri kononnya nama-nama YB ini dibincang dalam Mesyuarat Tertinggi parti tersebut. Hakikatnya hanya angka yang diberi kepada mereka.

- Soalnya siapa yang tidak waras, Anwar atau orang yang mempercayainya?

Wednesday, September 10, 2008

Pesona Sesumpah Tanggal 16 September



Ramai teman meminta ulasan untuk 16 September 2008. Apa ada dengan 16 September 2008 kalau bukan sekadar sambutan pembetukan Malaysia.Namun 16 Sepetember kali ini amat menarik kerana Datuk Seri Anwar bin Ibrahim berjanji untuk menubuhkan kerajaan.

Saya tidak mengulas isu 16 September ini kerana ia bukan sahaja tidak masuk akal tetapi juga tidak amhu terperangkap dengan percaturan politik populis Anwar.

1. Tiada ahli Parlimen BN yang berakal dan menggunakan akalnya dengan bijaksana akan mempercayai cakap dan janji Anwar. Tiada sebab untuk mereka melompat kepada Anwar kerana mereka sekarang ini membentuk kerajaan. Kelebihan, kesenangan dan kuasa di pihak mereka. Kecuali Anwar boleh menjanjikan sejenis kekayaan yang tidak mampu diberi oleh BN, tidak mungkin ada yang akan melompat.

Semua ahli Parlimen BN mengenali Anwar secara langsung atau tidak langsung. Mereka tahu bagaimana kejamnya Anwar kepada sahabat dan lawan. Apakah ada ahli politik yang waras mahu mempercayai Anwar?

2. Tiada ahli Parlimen BN yang waras dan boleh berfikir akan percaya Anwar mampu menyatukan Pas dan DAp dalam jangka masa panjang. Andai pakatan tersebut pecah dan BN kembali memerintah, apa nasib mereka? pa pula nasib mereka jika usaha Anwar ini tidak berjaya dan mereka telah pun menyeberangi jambatan PKR? Sebab itu saya tidak fikir ada ahli Parlimen BN yang begitu bodoh mahu menyertai Anwar.

3. Jika pun terdapat 40 orang ahli Parlimen BN yang lompat parti pada 16 September ini, Anwar masih tidak boleh membentuk kerajaan. Tiada sidang Parlimen berlangsung pada waktu ini. Jika diumumkan pada 16 September, BN mempunyai sehingga pertengahan Oktober untuk mengukuhkan kembali kedudukan. Ini kerana hanya ketika itu Parlimen mula bersidang dan undi hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri boleh dibuat.

4. Walaupun Anwar mungkin berjaya membawa majoriti ahli Parlimen menyokongnya berjumpa YDP Agong, ia masih tidak mengubah apa-apa kedudukan BN sehingga Agong memanggil sidang Parlimen. Dengan kata lain, 16 September tidak mungkin berlaku peralihan kuasa politik dari BN kepada Pakatan Rakyat.

5. Katalah Anwar berjaya mengadakan usul undi tidak percaya, belum tentu Anwar akan menjadi Perdana Menteri. Ini kerana kuasa sebenar selepas undi tidak percaya di Parlimen ialah kuasa YDP Agong. Agong berhak untuk melantik Perdana Menteri baru yang beliau percaya mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen atau mewujudkan caretaker government untuk mengadakan pilihan raya umum baru.

6. Sesiapa yang mengetahui senario politik Malaysia pasti tahu bahawa harapan Anwar untuk mendapat kepercayaan YDP Agong dan Majlis Raja-raja merupakan satu harapan yang hampir mustahil. Jadi jalan yang satu lagi ialah Agong akan melantik kerajaan sementara dan mengumumkan pembubaran Parlimen.

7. Apakah rakyat akan menyokong Anwar yang merosakkan keputusan pilihan raya umum lalu? Anwar mungkin lupa bahawa sokongan sebahagian rakyat terhadapnya dalam pilihan raya lalu bukanlah begitu besar berbanding undi protes terhadap BN yang beliau terima. Tidak mustahil rakyat yang bosan dengan gelagat Anwar akan memberi sokongan lebih besar kepada BN.

8. Dengan kata lain, jalan Anwar ke Putrajaya bukan sahaja masih jauh malah bolehlah dianggap tidak masuk akal. Sebab itu saya enggan mengulas kisah Anwar mahu bentuk kerajaan 16 September.

Adanya orang terpesona dengan retorik Anwar sekadar menunjukkan masih ramai rakyat Malaysia yang bukan sahaja tidak matang malah malas menggunakan akal fikir yang dikurniakan Allah terhadap mereka.

Tunggulah 16 September untuk anda mendengar pelbagai pula alasan Anwar Ibrahim. Sesumpah selalu bertukar warna kulit.

Apakah kita akan terus terpesona dengan keajaibannya?

Tuesday, September 2, 2008

Merdeka, Komunis dan Malaysia

Anwar Ibrahim menyarankan supaya 16 September dijadikan cuti umum dan diraikan bukannya 31 Ogos. Lim Guan Eng pantas menyambut dengan mengisytiharkan Pulau Pinang akan bercuti tahun hadapan pada 16 September.

Mengapa usaha meraikan pembentukan Malaysia pada 16 September lebih penting dan besar berbanding hari pegisytiharan kemerdekaan pada 31 Ogos bagi Pakatan Rakyat terutamanya DAP?

Mereka mahukan peritiwa ini diingat lebih baik kerana ia akan memadamkan perjuangan para pejuang Melayu dan bumiputera borneo yang berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan tanah Melayu dan borneo. Setiap kali meraikan hari kemerdekaan kita akan mengulangi sejarah perjuangan lampau seperti Tok Janggut, Mat Kilau, Datuk Bahaman, Mat saleh, Dol Said, Rentap dan ramai lagi.

DAP sebagai cauvinis Cina lebih mahu mengingati hari pembentukan Malaysia pada 16 september kerana ia turut membabitkan peranan Parti Tindakan Rakyat (PAP) Singapura. Inilah yang mahu diuar-uarkan oleh DAP bahawa orang Cina memainkan peranan besar dalam kemerdekaan negara ini.

Malangnya bukan DAP sahaja yang terbabit, malah orang Melayu kerana kuasa dan pangkat sanggup sama bersengkongkol dengan anak didik Singapura di Malaysia ini.

Lebih menyedihkan ada juga penggerak propaganda PKR bernama Mohd Sofi Yassin menulis menganggap Komunis merupakan pejuang kemerdekaan sejati.

Demikianlah kerana terdesaknya mahukan kuasa maka hari kemerdekaan negara pun mahu ditukar, peranan UMNO juga mahu ditidakkan. Bayangkan mereka ini belum memegang kuasa. Bagaimana jika mereka berkuasa? Tidak mustahil Islam juga akan dipariahkan. Tidak mustahil mereka akan menganggap agama Hindu lebih layak mendapat tempat kerana ia lebih awal sampai di kepulauan Melayu.

Tiada sesiapa yang boleh menjahanamkan Melayu dan Islam di negara ini kecuali orang melayu sendiri.