Thursday, May 31, 2007

Anwarisme (1): Cubaan Menjadi Diktator Dalam UMNO Dengan Membunuh Rakan

Oleh AJAB

Sesiapa sahaja yang menyokong Anwar Ibrahim harus menerima hakikat bahawa - Anwar Ibrahim naik atas liku-liku pelbagai janji palsu, membunuh rakan politik yang dianggap mampu mencabar beliau dan sedia mencetuskan huru-hara bagi mendapatkan keuntungan politik.

Hebatnya Anwar sebagai pemimpin politik melangkau pemikiran Niccolò di Bernardo dei Machiavelli atau lebih terkenal sebagai falsafah Machiavellian. Machiavelli terkenal menerusi bukunya The Prince yang antara lain mempopularkan frasa politik "Matlamat Menghalalkan Cara".

Ratusan tahun manusia politik, agama dan moralis membicarakan falsafah Machiavellian. Namun, hakikatnya Niccolò di Bernardo dei Machiavelli tidak mencapai tahap yang tertinggi takhta kepimpinan politik pada zamannya. Tidak dapat dinafikan beliau memainkan banyak peranan yang signifikan dan penting kepada kerajaan Italy kurun ke 16.

Kedudukan Machiavelli tidak setaraf pun pencapaian Anwar Ibrahim yang menjadi orang kedua berkuasa di Malaysia suatu ketika dahulu. Namun seperti Machiavelli, Anwar bersedia melakukan apa sahaja bagi mencapai matlamat.

Berbeza Machiavelli yang matlamat beliau adalah negara Rom atau Italy ketika ini, matlamat Anwar hanyalah keputeraan Anwar Ibrahim sebagai pemimpin politik nombor wahid di Malaysia.

Penulis tidak berniat untuk membawa satu lagi perdebatan dan perbahasan prinsip dan pandangan Anwar yang dianggap sesetengah pihak berubah dari seorang pejuang rakyat kepada nasionalis dan akhirnya menjadi "darling" barat. Kita tinggalkan hal tersebut di masa lain.

Tamatnya Riwayat Politik Panglima Setia

Dalam politik Malaysia Anwar akan diingati sebagai antara tokoh yang paling banyak membunuh rakan politik beliau.

Sebagai ahli politik muda yang mempunyai jentera kepimpinan muda yang taksub dengan imej Islamnya (ABIM) Anwar dengan mudah meyakinkan umum bahawa beliau seorang yang taat kepada ajaran Islam, boleh dipercayai, amanah dan setia kepada rakan.

Namun sejarah menyaksikan Rahim Tamby Chik, Muhammad Mohd Taib, Sanusi Junid, Ghafar Baba dan ramai lagi di peringkat negeri ditumbangkan secara tidak bermaruah oleh Anwar.

Cerita muka depan Utusan Malaysia, bahawa Rahim Tamby Chik mempunyai hubungan dengan gadis bawah umur adalah kali pertama dalam sejarah ditulis melalui maklumat Mesyuarat Pengarang Utusan Malaysia di bawah pimpinan Johan Jaaffar ketika itu. Sesiapa yang mengenai Yazid Othman (bekas wartawan Utusan Malaysia dan bekas Presiden Kelab Wartawan Melayu Malaysia) boleh mencari pengesahan dari beliau.

Tidak cukup dengan Utusan, beberapa konco-konco Anwar juga menyalurkan maklumat dan wang (secara tidak langsung) kepada Parti Tindakan Demokratik (DAP). Lim Guan Eng menjaja isu ini ke merata tempat.

Sama ada benar atau tidak dakwaan tersebut tidak pasti (walaupun beberapa tahun selepas Anwar hilang kuasa dan juga kawalan ke atas Media Massa utama negara - Utusan dan NSTP), gadis tersebut muncul membuat akuan bersumpah menafikan dakwaan Utusan dan lim Guan Eng.

Rahim Tamby Chik salah seorang daripada penyokong kuat Anwar yang membantu kemenangan besar Team Wawasan pada pemilihan UMNO 1993. Kekuatan akar umbi anggota Pasukan Wawasan - Rahim Tamby Chik (ketika itu Ketua Menteri Melaka), Najib Tun Razak (bekas Menteri Besar Pahang termuda dan antara Menteri Kanan ketika itu), Muhammad Mohd Taib (ketika itu Menteri Besar Selangor) dan Muhyiddin Yassin (Ketika itu Menteri Besar Johor)telah berjaya memastikan Anwar menang besar dalam pencalonan bahagian-bahagian untuk jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Rahim dibunuh kerana ia sudah menjadi lebih besar dari Anwar. Rahim yang menang jawatan Ketua Pemuda UMNO dilihat sebagai cabaran utama kepada masa depan politik Anwar. Selain kejayaan beliau membangungkan Melaka dengan pesat, Rahim juga mempunyai perwatakan yang 'charming' dan mudah didekati seperti Anwar. Ini menimbulkan satu masalah kepada Anwar.

Kekuatan Rahim ketika itu sudah besar. Seandainya sesuatu berlaku dan Rahim bergabung dengan Najib, Anwar pasti mempunyai masalah besar biarpun beliau sentiasa mendapat perlindungan Dr. Mahathir. Anwar tahu bahawa seandainya berlaku pertarungan Najib-Anwar, belum tentu Dr. Mahathir akan menyebelahi beliau sepenuhnya.

Justeru Anwar membunuh Rahim melalui media kawalannya - Johan Jaaffar (Ketua Pengarang Parachut di Utusan), Ahmad Nazri Abdullah (Ketua Pengarang Berita Harian)dan Ketua Editor TV3 (maaf nama beliau sudah terlupa kerana kurang popular tapi banyak menjalankan kerja di sebalik tabir untuk Anwar).

Mat Taib Terlalu Besar

Masalah kedua Anwar ialah Muhammad Mohd Taib. Mat Taib yang juga dikenali sebagai Mike Tyson Malaysia turut dilihat mula mengembangkan pengaruh yang tidak diperlukan oleh Anwar. Sebagai Menteri Besar negeri termaju di Malaysia, Mat Taib mempunyai banyak sebab untuk disukai oleh ahli UMNO.

Dalam banyak hal Mat Taib dilihat mewakili imej ahli UMNO biasa sederhana, bersifat kemelayuan yang diterima di kampung dan bandar(kecuali isu perkahwinan beliau dengan Ku Yah) dan "pemurah" kepada ahli UMNO. Mat Taib juga memprojekkan imej Melayu Baru yang lain dari imej Anwar - Islamisme Melayu.

Sungguhpun Mat Taib tidak mungkin menentang Anwar, namun Anwar tidak memerlukan rakan politik yang hampir setara populariti dengan beliau. Akhirnya Mat Taib ditangkap kerana membawa wang lebih had masuk ke dalam Australia tanpa membuat pengisytiharan yang dikehendaki. Sehingga hari ini penganalisis politik percaya pihak Australia telah diberi tips dari seseorang berpengaruh di Malaysia.

Tamatlah riawayat satu lagi orang kuat Anwar hanya kerana ia dilihat oleh Anwar semakin berpengaruh.

Anwar tidak berani menyentuh secara langsung Najib Tun Razak. Antara sebabnya, Najib dilihat antara pemimpin muda yang diberi sedikit laluan dan ruang oleh Dr. Mahathir. Anwar berpendapat masa belum tiba untuk beliau membunuh Najib kerana ia boleh menjadi boomeerang.

Melalui jaringan yang ada pasukan Anwar mencipta khabar angin bahawa Najib Tun Razak kena tangkap basah dengan Ziana Zain di Port Dickson. Khabar angin ini dibiarkan terlalu lama sehingga bila muncul Mufti Negeri Sembilan menafikan tangkapan tersebut, nasi sudah menjadi bubur.

Anwar juga telah menyalurkan beberapa maklumat kontrak Kementerian Pertahanan kepada beberapa penulis buku politik supaya mengolah cerita menunjukkan seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena dalam kontrak-kontrak tersebut.

Imej Najib sudah tercemar. Najib tidak mungkin jatuh dengan cerita-cerita ini namun ia juga sukar lagi mencabar imej islam melayu Anwar.

Dari jatuhnya mereka inilah munculnya ruang untuk Zahid Hamidi, Saifuddin Nasution, Rahim Ghouse dan beberapa lagi nama yang diperkasakan oleh kekuatan wang dan medua Anwar .

Anwar sudah bersedia menjadi diktator dalam UMNO. Kesediaan beliau membunuh dua panglima perangnya (Rahim dan Mat Taib) memberi isyarat jelas kepada orang lain supaya jangan terlalu menonjol. Ia juga menyediakan ruang dan peluang untuk Anwar membentuk satu generasi baru pelapis yang dengar cakap, dengar kata dan taksub kepada beliau.


Antara 1993-96 - Anwar sedang mencipta sistem diktator "terindah" dalam UMNO menerusi pengaruh, kuasa media dan kekuatan wang yang beliau miliki.

ISNIN: Anwar Tamatkan Riwayat Politik "Rakan Lama Tapi Musuh Politik."

Sunday, May 27, 2007

Pemilihan PKR: Anwar Mencipta Populariti

Lawak jenaka yang berlaku dalam pemilihan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) semalam mencerminkan bahawa parti tersebut bukanlah alternatif terbaik bagi menjadi pengganti Barisan Nasional.

Adalah sungguh aneh dan luar biasa bila proses pencalonan ditutup, tiga calon telah bersetuju untuk bertanding bagi jawatan Presiden. Lebih luar biasa ialah Wan Azizah akan ditentang oleh suaminya, Anwar Ibrahim dan bekas penyokong kuat Anwar, Abdul Rahman Othman.

Seperti biasa Anwar cuba bermain sandiwara memberi keyakinan kepada para penyokong PKR bahawa beliau sedia menghadapi apa jua risiko. Namun akhirnya Anwar tidak mungkin mengambil risiko yang boleh memperjudikan kedudukan beliau.

Memang benar Akta Pendaftaran Pertubuhan tidak membenarkan bekas banduan memegang jawatan dalam persatuan selama satu tempoh selepas bebas dari penjara.

Anwar mengetahui hal ini lebih awal lagi. Namun mengapa beliau mengambil keputusan untuk terus memberi harapan palsu kepada penyokongnya? Mengapa beliau sanggup berkonfrontasi dengan Abdul Rahman Othman hanya kerana ingin bertanding satu jawatan yang mustahil dapat beliau pegang secara sah?

Anwar bukan seorang pejuang berani mati. Anwar hanya seorang pejuang retorikal yang akan berapi-api ucapan beliau tapi hilang bila timbul sebarang konfrontasi terbuka. Di Baling pada tahun 70-an membuktikan sikap beliau. Beliau berucap berapi-api namun hilang dalam arus demontrasi besar-besaran pelajar. Dalam hal ini tentulah orang seperti Hishammudin Rais lebih jantan dari Anwar.

Pada 1998 juga Anwar menghasut penyokong beliau melakukan kekacauan, berarak ke PWTC dan Seri Perdana tetapi beliau pulang bersembunyi di rumah. Itulah Anwar, hero atas podium dan pentas.

Justeru, bagi mereka yang memahami sikap dan arah tuju politik beliau yang bersifat populariti, langkah Anwar menarik diri 11 jam sebelum pertandingan bukanlah satu isu luar biasa.

Keganjilan pemilihan Presiden PKR ini hanya diwujudkan sebagai serampang dua mata kepada Anwar dan PKR.

Pertamanya, Anwar hanya mahu menguji sejauh mana populariti beliau dalam parti setelah enam tahun merengkok dalam penjara. Anwar mahu menunjukkan kepada umum bahawa beliau masih berpengaruh.

Sebab itu, sebelum mengumumkan keputusan beliau menarik diri (sesuatu yang telah beliau tetapkan sejak awal lagi), beliau membuka ruang untuk perwakilan membahaskan isu pembabitan beliau dalam pertandingan jawatan Presiden PKR.

Seperti yang dijangka suara para perwakilan akan mendesak Anwar terus bertanding dan jangan takut melebihi suara rasional dalam parti. Ini tidak dapat dielakkan kerana PKR ditubuhkan atas emosi kepada Anwar bukannya landasan perjuangan politik rakyat sebenar.

Sebaik Anwar menarik diri, Abdul Rahman turut menarik diri. Satu lagi langkah yang sudah dirancang sejak awal. Malahan cadangan menjadikan Anwar sebagai de facto leader jelas mencerminkan perancangan awal dalam isu ini.

Keduanya, keganjilan ini dan segala hiruk pikuk pemilihan PKR kali ini sekadar untuk mengambalikan ingatan orang ramai terhadap PKR dan Anwar Ibrahim.

Media massa arus perdana memberi liputan yang begitu meluas dalam pemilihan PKR kali ini kononnya untuk menunjukkan perpecahan PKR. Hakikatnya ia telah dirancang lebih awal oleh Anwar hanya untuk meraih publisiti yang lebih baik untuk beliau dan PKR.

Bayangkan jika tiada segala keganjilan dalam pemilihan kali ini termasuk lakonan bersahaja Nalla Karupan tentulah media massa utama tidak akan memberi liputan besar kepada Anwar.

Hakikatnya, sungguhpun pemilihan PKR tampak ganjil dan lucu, namun Anwar sudah berjaya melaksanakan strategi beliau bagi memunculkan semula diri beliau dalam arus politik negara setelah sekian lama tampak lesu.

Friday, May 25, 2007

Wolfowitz, Shaha Riza dan Anwar

Oleh: ZIN MAHMUD

AKHIRNYA Jumaat lalu, Presiden Bank Dunia, Paul Wolfowitz mengumumkan pelepasan jawatannya berkuat kuasa 30 Jun ini. Keputusan itu dibuat atas tekanan dan beliau mengumumkannya setelah Lembaga Pengarah menyifatkan tindak-tanduk Wolfowitz yang kontroversi melibatkan kenaikan gaji rakan wanitanya, Shaha Riza dibuat dengan etika dan niat baik.

Walaupun Selasa lalu, panel khas lembaga pengarah bank itu membuat kesimpulan bahawa Wolfowitz melanggar peraturan dan melakukan perbuatan konflik kepentingan, tetapi dalam kenyataan Jumaat lalu, pihak bank tidak menyalahkan sesiapa.

Kenyataan bahawa kesilapan berlaku tanpa menyatakan sesiapa merupakan langkah menyelamatkan air muka Wolfowitz yang sebelum ini enggan melepaskan jawatan. Wolfowitz berulang kali menyatakan keengganannya untuk melepaskan jawatan di mana kedudukannya disokong oleh Presiden George W. Bush. Dalam dia mengaku membuat kesilapan, beliau menegaskan perlunya misinya di Bank Dunia diselesaikan demi menyelamatkan orang miskin, khususnya di pinggiran Sahara Afrika.

Tetapi dengan pihak Bank Dunia tidak meletakkan kesalahan pada beliau, maka tindakan itu boleh dianggap sebagai menyelamatkan air muka apabila ternyata akhirnya tokoh neokonservatif itu mengundurkan diri.

Kontroversi Wolfowitz secara permukaan kelihatan seperti kes nepotisme biasa di mana seorang yang berpengaruh menyalahgunakan kuasanya untuk kepentingan rakan wanitanya. Tetapi yang berlaku lebih daripada itu. Sebagai tokoh neokonservatif, fahaman yang memperjuangkan hegemoni Amerika Syarikat (AS) dengan menggunakan kekuatan tentera, Wolfowitz juga dikenali sebagai penggerak kepada Perang Iraq. Sebagai bekas timbalan setiausaha pertahanan AS, beliau menjadi penasihat Bush dalam menggerakkan perang menentang keganasan termasuk di Afghanistan dan Iraq.

Sudah tentu, di AS dan Eropah, Wolfowitz melahirkan banyak musuh khususnya di kalangan kiri, baik dari Parti Demokratik, mahupun di negara-negara Eropah yang mempunyai komuniti politik kiri berpengaruh.

Walaupun mereka terpaksa akur terhadap pilihan Bush supaya Wolfowitz menjadi Presiden Bank Dunia, tetapi golongan ini dikatakan sentiasa menanti peluang untuk menyingkirkan Wolfowitz kerana penolakan mereka terhadap neokonservatisme.

Maka kontroversi Shaha Riza ini merupakan peluang yang dinanti-nantikan. Di AS dan Eropah Barat, media politik, baik dalam bentuk cetakan mahupun Internet menyiarkan pelbagai laporan dan komen untuk mencari kesalahan dan kelemahan Wolfowitz. Antaranya ialah majalah mingguan politik tertua di AS, The Nation. Majalah yang bebas daripada sebarang politik ini diterbitkan sejak 1865 dan membawa tulisan-tulisan kritikal terhadap perkembangan politik di AS. Ia juga menyediakan laman web dan blog yang berwibawa.

Pengarang The Nation bagi Washington, David Corn dalam blognya mengikuti perkembangan Wolfowitz dari awal kontroversi ini tercetus. Dengan bantuan penyelidikan oleh pemberitanya, Stephanie Cordon, Corn memaparkan bagaimana konflik kepentingan berlaku.

Shaha Riza sedang bekerja dengan Bank Dunia sebagai pegawai komunikasi bahagian Timur Tengah semasa Wolfowitz dilantik presiden pada tahun 2005. Melihat apa yang beliau sebut sebagai ‘‘potensi konflik kepentingan’' kerana Wolfowitz akan menjadi bos kepada teman wanitanya itu, maka diaturkan supaya Shaha terus menjadi kakitangan bank tetapi dipindahkan daripada bank itu. Bermakna walaupun gajinya dibayar oleh bank itu tetapi dia tidak bekerja di bawah Wolfowitz.

Dari segi ini, Wolfowitz bertindak secara beretika bagi mengelak nepotisme dan konflik kepentingan. Masalahnya ialah perpindahan itu menyebabkan kenaikan gajinya sebanyak 36 peratus iaitu daripada AS$132,660 kepada AS$180,000 setahun dengan jaminan kenaikan sebanyak lapan peratus. Kenaikan ini pula dibuat di atas tekanan dan pengaruh Wolfowitz.

Bagaimana kenaikan gaji ini berlaku melibatkan pelbagai hujah, yang dikesan menerima campur tangan daripada Wolfowitz. Corn memaparkan tahap-tahap hujah ini dalam blog beliau.

Pada September 2005, pakej gaji Shaha selesai diputuskan. Bank Dunia dan Jabatan Negara (Kementerian Luar bagi AS) setuju meletakkannya dalam Biro Hal Ehwal Timur Dekat. Kalau Timur Tengah merujuk pada Asia Barat, Timur Dekat membabitkan negara-negara Asia dan Afrika di pesisiran Laut Mediterranean.

Shaha diberi tanggungjawab membangun yayasan yang fokus kepada reformasi di Timur Tengah dan Afrika Utara. Pada masa itu, yang menyelaras inisiatif Timur Tengah ialah anak Naib Presiden AS, Dick Cheney bernama Elizabeth atau Liz Cheney sebagai ketua timbalan penolong setiausaha biro tersebut.

Yayasan itu dinamakan Foundation for the Future, atau Yayasan bagi Masa Depan yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Melihat kepada laman web yayasan itu, pernyataan misinya ialah menyokong pertubuhan masyarakat sivil dalam usahanya untuk menyemai demokrasi dan kebebasan di Timur Tengah dan Afrika Utara.

Mandatnya menumpukan perhatian kepada menyokong pilihan raya yang bebas, adil dan benar-benar kompetitif, peraturan undang-undang, akses kepada ketelusan maklumat, kebebasan berpersatuan, kebebasan media, akses kepada pendidikan sivik, pemerkasaan wanita dan hak asasi manusia seperti termaktub dalam konvensyen dan persetujuan antarabangsa.

Selain daripada Anwar sebagai pengerusi, lain-lain anggota lembaga pengarah ialah Rahma Bourqia dari Maghribi, Kamel Abu Jaber dari Jordan, Laila al-Hamad dari Kuwait, Bakhtiar Amin dari Iraq, Andreu Claret Serra dari Sepanyol, Burhan Ghalioun dari Syria, Jamil Mroue dari Lebanon, Sandra Day O‘Conor dari AS, Abdul Rahman al Rashed dari Arab Saudi, Naguib Sawiris dari Mesir dan Dr. Cornelio Sommaruga dari Switzerland.

Yayasan ini berbentuk multilateral, tidak membuat keuntungan dan fokus pada memberi geran sebagai pembiayaan kepada pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bekerja untuk kebebasan dan demokrasi di Afghanistan, Algeria, Bahrain, Mesir, Iran, Iraq, Jordan, Kuwait, Lebanon, Libya, Maghribi, Oman, Pakistan, Palestin, Qatar, Arab Saudi, Syria, Tunisia, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Yemen.

Menurut laman web yayasan itu, setakat ini negara-ne- gara yang telah berjanji untuk menyumbang biaya ialah Bahrain, Denmark, Suruhanjaya Eropah, Greece, Hungary, Itali, Jordan, Belanda, Qatar, Sepanyol, Switzerland, Turki, United Kingdom dan AS.

Corn dalam blognya yang tersiar di laman web The Nation itu menyatakan bahawa pada 1 Oktober lalu, Anwar telah menulis kepada seorang pembantu kanan Wolfowitz di Bank Dunia, Robin Cleveland meminta supaya dipindahkan Shaha dari Jabatan Negara kepada Foundation for the Future. Dua bulan kemudian, bank itu menyatakan persetujuannya.

Pengarang itu selanjutnya menceritakan bagaimana Wolfowitz berkenalan dengan Anwar pada tahun-tahun 1980-an ketika beliau menjadi duta AS di Indonesia. Maklumat ini, menurut Corn diperoleh daripada Aasil Ahmad yang dikatakan seorang penasihat kepada Anwar.

Sepanjang Anwar dalam penjara, menurut Corn, Wolfowitz adalah orang yang kuat membela beliau. Sejurus selepas Peristiwa 11 September, katanya, Anwar yang masih di penjara menulis satu esei mengecam serangan itu dan menyeru umat Islam menangani soal ‘‘penderitaan yang ditanggung oleh umat Islam di Iraq akibat diktatornya” iaitu merujuk kepada Saddam Hussein.

Selepas Anwar dibebaskan daripada penjara pada tahun 2004, Wolfowitz, menurut Corn terbang ke Jerman untuk bertemu beliau. Pada tahun berikutnya, Anwar menyatakan sokongannya ke atas pelantikan Wolfowitz sebagai presiden Bank Dunia tetapi menegaskan bahawa beliau tidak berkongsi pandangan Wolfowitz mengenai perang Iraq.

Menurut Corn, memetik kata-kata Aasil, ketika berusaha menubuhkan Foundation for the Future itu, Shaha melantik Anwar untuk menjadi penasihat awalnya. Kedua-duanya kemudian memilih ahli-ahli lembaga pengarah dan menggubal mandat yayasan itu.

Foundation for the Future walaupun bukan sebuah agensi kerajaan AS telah menerima komitmen AS$35 juta dari AS dan kira-kira $20 juta diikrar oleh kerajaan-kerajaan lain.

Memetik kata-kata Aasil, Corn menulis bahawa presiden pertama yayasan itu ialah Bakhtiar Amin, seorang Iraq yang pernah menjadi menteri kerajaan sementara pertama Iraq di bawah AS. Bagaimanapun dia meninggalkan jawatannya kerana dikatakan tidak berkemampuan dengan memetik seorang sumber yang pernah bekerja dengan yayasan itu.

Yayasan itu dikatakan tidak mempunyai ketua pegawai kewangan dan ketua pegawai operasi. Tahun lalu, ia membuat keputusan membuka pejabat di Beirut sebelum perang berlaku. Ia juga tidak mempunyai pejabat tetap di Washington. Permintaan maklumat melalui e-mel tidak dijawab dan laman webnya itu tidak membekalkan nombor telefon.

Operasi harian dikatakan dilakukan oleh Shaha. Aasil, menurut Corn memberitahu bahawa geran akan mula diberikan pada awal Jun. Tetapi maklumat yang diperoleh dari blog di laman-laman web lain di AS lebih menarik mengenai Shaha Riza. Oleh kerana komuniti yang menentang Perang Iraq, justeru bermakna anti- Wolfowitz adalah ramai, maka ia terserlah dalam ruang siber.

Antaranya ialah Moon of Alabama yang memetik laman web Daily Kos dan The Washington Note.

Tulisan Bernhard bertarikh 16 April lalu di Moon of Alabama dengan tajuk ‘‘Wolfowitz, CIA, Lebanon – Get the picture’' menyebut bahawa sebelum bekerja dengan Bank Dunia pada tahun 1997, Shaha Riza bekerja untuk National Endowment for Democrasy (NED), sebuah NGO yang ditubuhkan melalui pentadbiran Presiden Ronald Reagan, yang beroperasi membiayai usaha mengubah kerajaan dan membantu parti-parti politik asing yang pro-AS.

Dengan memetik Rightweb, sebuah laman web yang kerjanya mendedahkan rangkaian dan agensi golongan kanan di AS untuk melihat kaitan mereka bagi melancarkan perang menentang keganasan, termasuk Perang Iraq, dinyatakan bahawa NED dipengerusikan oleh Vin Weber dengan ahli lembaga Francis Fukuyama, bekas ahli lembaga Paula Dobriansky dan Paul Wolfowitz menandatangani pernyataan pengasas Projek bagi Abad Baru Amerika.

Pernyataan Projek bagi Abad Baru Amerika kini dikenali sebagai manifesto neokonservatisme.

Dobriansky dan Wolfowitz menyertai pentadibran Presiden George W. Bush pada tahun 2001. Fukuyama yang menulis buku-buku memperjuangkan neokonservatisme kini sudah meninggalkan fahaman itu.

Laman web Moon of Alabama itu juga memetik satu laporan dari Arab News, akhbar harian bahasa Inggeris di Timur Tengah paling terkemuka bertarikh 16 November 2006 yang mamaparkan tentang kehadiran Setiausaha Negara AS, Condoleeza Rice dan Liz Cheney di Forum of the Future (Forum Masa Depan) di Bahrain.

Mereka menyaksikan pelancaran dua institusi iaitu Fund of the Future (Dana bagi Masa Depan) bernilai AS$100 juta bagi menyediakan modal untuk perniagaan kecil dan sederhana. Institusi kedua ialah Foundation for the Future bernilai AS$55 juta yang ditubuhkan untuk menyokong NGO bagi melaksanakan projek-projek bagi menggalakkan kebebasan akhbar dan demokrasi.