Saturday, September 29, 2007

VIDEO VK LINGGAM (II): Anwar Main Wayang Lagi?

Anwar sudah sediakan jalan keluar jika video VK Linggam terbukti palsu atau tiada sebarang konspirasi terbukti. Tiga catatan Anwar pada minggu lalu jelas sekali sudah menuduh kerajaan cuba menutup isu video ini dan keselamatan beliau dalam keadaan terancam kononnya.

Tulisan beliau berjudul "Harga Membongkar Konspirasi" adalah tipikal atau kelaziman politik putar belit Anwar.

Pada 1998, beliau ke seluruh negara mendakwa kerajaan tidak akan membicarakan beliau tetapi akan menahan di bawah ISA. Apabila berminggu-minggu beliau tidak ditangkap, maka Anwar mencipta rusuhan dan kekacauan bagi memastikan Polis menangkap beliau. Akhirnya beliau ditangkap, setelah pengikut beliau menghuru-harakan Kuala Lumpur, menyerang PWTC dan berarak ke Seri Perdana dalam keadaan marah.

Kali ini juga Anwar sudah membayangkan bahawa keselamatan beliau dalam bahaya berikutan pendedahan video klip tersebut. Maka dinukilkan pandangan kawan-kawan yang meminta beliau berhati-hati. Jika tiada apa yang berlaku kepada Anwar dalam dua tiga minggu ini, tidak mungkin sesuatu yang buruk akan berlaku dengan sendirinya ke atasnya.

Pada 1998, Anwar yang berada dalam tahanan Polis mengetahui sifat panas baran Tan Sri Rahim Noor terus mengekploitasi Ketua Polis Negara tersebut. Bagi memastikan beliau dicederakan, Anwar memprovokasi Rahim Noor sebagai Bapa Anjing. Maka melayanglah penumbuk Rahim Noor ke atas Anwar.

Maka episod mata lebam Anwar membuktikanlah kerajaan ini zalim. Hakikat bahawa Rahim tidak disuruh oleh sesiapa untuk menumbuk Anwar, mahu pun provokasi Anwar memanggil beliau sebagai bapa anjing tidak lagi diambil kira oleh sebahagian orang yang emosional.

Anwar sudah memula langkah awal bila mendakwa keselamatan beliau terancam. Dalam catatan pendek kemudiannya yang betajuk, Video dan Drama Tamil, Anwar sudah menuduh kerajaan akan memutar belitkan isu tersebut. Kaedah reversed psikologi Anwar ini sudah boleh dijangka.

Dengan menuduh kerajaan akan membuat itu dan ini yang bertentangan dengan kehendaknya, Anwar berharap kerajaan akan bertindak sebaliknya. Dengan kata lain, Anwar berharap kerajaan akan mengakui kebenaran video klip yang didedahkannya itu tanpa siasatan lengkap, sekaligus membolehkan beliau mendakwa semua keputusan mahakamah ke atas dirinya adalah atas sebab hakim korup.

Dengan membuat tuduhan-tuduhan awal terhadap kerajaan, Anwar ingin menyelamatkan dirinya jika terbukti video tersebut palsu dan beliau dikenakan tindakan undang-undang nanti.

Namun Anwar lupa bahawa taktiknya ini sebenarnya tidak laku lagi. Masyarakat tidak pernah lupa bagaimana dakwaan keracunan arsenik palsu beliau suatu masa dahulu. Masyarakat juga belum lupa hakikat Anwar yang kononnya sakit belakang hampir lumpuh, tiba-tiba pulih dalam masa tidak sampai sebulan selepas menjalani pembedahan di Jerman.

Jika ada orang yang bermain wayang filem tamil mahu pun hindi, maka orang tersebut ialah Anwar Ibrahim mantan Timbalan Perdana Menteri dan mantan Banduan Sungai Buloh. Bukankah Anwar sendiri peminat nombor wahid filem tamil dan hindi?

Ketelusan kerajaan dalam hal sebegini tidak perlu dipertikaikan kerana Anwar sendiri pernah menang kesnya ke atas Rahim Noor melalui Suruhanjaya Penyiasat yang ditubuhkan oleh Kerajaan.

Mahkamah yang dituduh korup oleh Anwar juga yang membebaskan dirinya dari hukuman ke atas tuduhan perlakuan seks luar tabie. Mahkamah yang sama tempat Anwar mendapat bayaran ganti rugi kerana ditumbuk oleh Rahim Noor.

Justeru Anwar tidak perlu memprovokasi atau mencipta skrip baru. Tunggu sahaja keputusan siasatan jawatankuasa penyiasat yang ditubuhkan oleh kerajaan.

Thursday, September 20, 2007

Video VK Linggam: Anwar Yang Penuh Muslihat

Sama ada video yang didedahkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan peristiwa sebenar atau lakonan oleh mereka yang menyerupai peguam VK Linggam hanya mampu ditentukan oleh VK Linggam, "suspek kedua" Tun Ahmad Fairuz dan perakam aksi tersebut.

Namun sebagai penonton biasa, pemerhati politik dan rakyat, kita tidak dapat lari dari perasaan tanda tanya dan pelbagai kemungkinan lain.

Tidak perlulah diulas banyak kandungan video tersebut kerana ia sudah dilaporkan oleh Malaysia-today.net, malaysiakini dan harakahdaily. Sesiapa yang berminat boleh juga membaca di anwaribrahimblog.com

Yang ingin kita bicarakan ialah apa dan mengapa. Apakah video tersebut tulen atau authentic sifatnya dan mengapa baru hari ini didedahkan?

Apa?

Banyak dalam kelemahan video tersebut boleh mencabar ketulenannya. Antaranya, gambar yang tidak jelas berbanding audio yang begitu jelas memberi gambaran seolah-olah ada proses dubbing atau "memasukan suara".

Apakah benar itu percakapan VK Linggam? Apakah itu VK Linggam sebenar?

Jika benar pun watak di dalamnya adalah VK Linggam, apakah benar watak di sebalik sana ialah Tun Ahmad Fairuz seperti yang didakwa oleh Anwar Ibrahim?

Pertanyaan lebih serius ialah, apakah juga benar video tersebut dirakam pada 2002 seperti yang didakwa oleh Anwar Ibrahim? Berdasarkan aturan nama-nama yang disebut ternampak seolah-olah video tersebut dirakam selepas perlantikan Ahmad Fairuz. Ini membolehkan nama-nama hakim tertentu disebut bagi menyesuaikan dengan peristiwa berlaku sekaligus menambah kredebiliti video tersebut.

Memandangkan Tun Ahmad Fairuz telah menafikan bahawa rakaman video tersebut merupakan rakaman percakapan VK Linggam dengan beliau, maka Anwar haruslah membuktikan dakwaannya benar.

Bayangkan jika video perbualan telefon sebelah pihak pun boleh dianggap tulen, bagaimanakah video-video Anwar di http://www.isuhot.com/ yang nyata mempunya wajah dan perlakuannya?

Mengapa?

Mengapa sekarang baharu didedahkan video tersebut jika rakamannya dibuat pada 2002. Jika benar rakaman tersebut pada 2002 tentulah ia telah lama digunakan oleh Anwar bagi keuntungan politik beliau dan konco-konconya.

Atau mungkin sekarang Anwar baru dapat? Jika demikian, kita perlu pula bertanya apakah motif pemberi rakaman ini?

Apakah ini merupakan satu rakaman sebenar atau diada-adakan bagi menjatuhkan kredebiliti Tun Ahmad Fairuz yang baru-baru ini mencadangkan penghapusan English Common Law?

Apakah ini kejahatan terancang untuk mengenakan Tun Ahmad Fairuz yang baru-baru ini membuat keputusan yang tidak memuaskan hati penganut kristian dalam isu Lina Joy?

Kesimpulan

Seperti kata Perdana Menteri, sebelum tindakan diambil ketulenan video tersebut perlu disiasat terlebih dahulu. Jika benar ada konspirasi maka tindakan perlu diambil ke atas mereka yang terlibat.

Jika tidak, maka mereka yang menyebarkan video palsu tersebut perlu dihukum dengan berat kerana cuba memporak perandakan sistem kehakiman negara.

Apapun sekarang beban pembuktian terletak ke atas tangan Anwar kerana beliau yang mengemukakan tuduhan tanpa bukti yang jelas. Beliau tidak harus berselindung di sebalik frasa seperti "bukan menuduh tetapi minta disiasat".

Namun mengenali Anwar selama berpuluh tahun, tiada apa yang boleh dipercayai sepenuhnya jika ia datang dari Anwar Ibrahim.